Kereta, perabot antara 34 barangan milik Che Ta bakal dilelong
Kereta, perabot antara 34 barangan milik Che Ta bakal dilelong
Kereta jenama Haval, sofa, peti ais, pendingin hawa, ketuhar gelombang mikro, mesin basuh, mesin pengering dan penyedut hampagas antara barangan milik pelakon sensasi, Rozita Che Wan yang akan dilelong melalui lelongan awam, esok.
Difahamkan, lelongan dijadual bermula pada jam 10.30 pagi di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya membabitkan 34 barangan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46.
Perintah lelongan barangan milik Rozita atau mesra disapa Che Ta dikeluarkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang akan dijalankan oleh Auctrade Auctions Solution.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Difahamkan, Rozita membuat pinjaman dengan MARA sejak 2017, namun, dilapor didakwa tidak pernah membayar pembiayaan itu sejak tujuh tahun lalu.
Rozita dilapor masih belum tampil bertemu pihak MARA untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik selebriti itu, RCW Worldwide Sdn Bhd.
Susulan itu, bahagian undang-undang MARA dilapor dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Rozita dan anak sulungnya, Ammar Effendy yang gagal membayar pinjaman.
Langkah itu adalah prosedur susulan dilakukan terhadap selebriti itu selepas gagal melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun walaupun pelbagai usaha diambil MARA bagi mendapatkan semula wang berkenaan sehingga membawa kes ke mahkamah.