Starbucks makin tak laku, jualan global jatuh tujuh peratus
Starbucks melaporkan penurunan tujuh peratus jualan setanding global pada suku keempat apabila rantaian kopi itu bergelut untuk memulihkan permintaan di pasaran utama Amerika Syarikat (AS) dan China.
Minggu lalu, Starbucks melaporkan keputusan awal suku keempat dan menggantung ramalan tahunannya sepanjang tahun fiskal akan datang kerana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, Brian Niccol cuba mengemudi syarikat ke arah pertumbuhan.
Strategi syarikat yang berpangkalan di Seattle itu untuk memacu permintaan melalui promosi dan tawaran program kesetiaan yang dipertingkatkan tidak berubah untuk berdepan perbelanjaan perlahan daripada pengguna yang mementingkan kos.
Starbucks juga menghadapi cabaran sukar di China, di mana ia berhadapan dengan pemulihan makroekonomi yang tidak menentu dan persaingan sengit daripada jenama tempatan.
Jualan setanding di China, pasaran kedua terbesar syarikat selepas AS, merosot selama tiga suku berturut-turut, jatuh 14 peratus pada suku keempat.
Pelabur, bagaimanapun, mempertaruhkan veteran industri berpengalaman dan bekas ketua Chipotle Mexican Grill, Niccol untuk memudahkan kepimpinan dan struktur operasi syarikat, dan menyemarakkan semula budaya kedai kopi di kedai Starbucks di AS.
Saham syarikat itu telah meningkat kira-kira 26 peratus sejak Niccol menggantikan Laxman Narasimhan sebagai CEO dalam satu pengumuman mengejut pada Ogos lalu.
Jualan setanding antarabangsa Starbucks jatuh sembilan peratus pada suku keempat, berbanding jangkaan penurunan 6.5 peratus, mengikut data yang disusun oleh LSEG.
Pertumbuhan program kesetiaan Starbucks juga terjejas pada suku keempat, dengan ahli aktif selama 90 hari di AS kekal mendatar secara berurutan, berbanding dengan kenaikan berurutan tiga peratus yang dilaporkan pada suku ketiga.
Pendapatan bersih syarikat itu jatuh kepada AS$909.3 juta, atau 80 sen sesaham, daripada AS$1.22 bilion, atau AS$1.06 sesaham, setahun sebelumnya pada suku keempat berakhir 29 September.