Gunung Fuji pertama kali tidak bersalji untuk tempoh lama sejak 130 tahun
Gunung Fuji di Jepun kekal tanpa salji sehingga Selasa, menjadikannya tempoh paling lama gunung tersebut tidak bersalji sejak rekod mula disimpan 130 tahun lalu, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Salji biasanya mula melitupi puncak gunung berapi itu pada 2 Oktober setiap tahun, dan tahun lalu salji pertama dilihat pada 5 Oktober.
Namun, disebabkan cuaca yang panas, tahun ini belum ada salji yang kelihatan di puncak Gunung Fuji, kata Yutaka Katsuta, seorang peramal cuaca di Pejabat Meteorologi Tempatan Kofu.
Rekod baharu ini memecahkan rekod terdahulu pada 26 Oktober yang pernah dicatat pada tahun 1955 dan 2016.
“Suhu tinggi sepanjang musim panas yang berlanjutan hingga September menghalang kehadiran udara sejuk yang biasanya membawa salji,” jelas Katsuta kepada AFP.
Beliau juga menyatakan bahawa perubahan iklim mungkin turut mempengaruhi kelewatan pembentukan salji di puncak gunung tersebut.
Musim panas di Jepun tahun ini mencatatkan suhu tertinggi yang sama dengan rekod 2023, di mana gelombang haba melampau akibat perubahan iklim melanda banyak kawasan di seluruh dunia.
Gunung Fuji biasanya diselaputi salji sepanjang tahun, namun sepanjang musim pendakian dari bulan Julai hingga September, lebih 220,000 pendaki menjejakkan kaki ke puncaknya untuk melihat matahari terbit dari ketinggian 3,776 meter.
Bagaimanapun, jumlah pendaki menurun tahun ini selepas pihak berkuasa Jepun memperkenalkan yuran masuk dan had jumlah pendaki harian bagi menangani masalah pelancongan berlebihan.