Tawar gaji RM3k tak termasuk elaun, iklan jawatan kosong Uniqlo curi perhatian

Tawar gaji RM3k tak termasuk elaun, iklan jawatan kosong Uniqlo curi perhatian

 

Kerajaan Malaysia telah menetapkan angka gaji minimum sekitar RM1,700 bakal dikuatkuasakan bermula Februari 2025 kelak.

Bagaimanapun, sebuah syarikat pakaian dari Jepun sedia menawarkan gaji asas yang tinggi untuk jawatan retail associate di butiknya.

Butik terkemuka yang dimaksudkan adalah Uniqlo di mana mereka mengiklankan satu jawatan kosong yang didatangkan dengan gaji asas setinggi RM3,000 tidak termasuk elaun RM150 untuk bekerja sepenuh masa.

Untuk pekerja sambilan pula, didapati bakal menerima upah bermula RM12 sehingga RM14 bagi setiap jam.

Di dalam iklan itu, pihak Uniqlo juga mahu seseorang individu memiliki kelayakan lepasan Diploma atau lebih tinggi dan boleh fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di samping perlu mahir melayan pelanggan pada setiap hari.

Perkongsian di platform X ini langsung mencuri perhatian ramai kerana merasakan penawaran gaji asas yang cukup lumayan untuk jawatan tersebut yang mana jauh lebih tinggi dari penyelarasan gaji minimum yang ditetapkan.

Malah, ada yang mendedahkan gaji asas di Uniqlo itu sudah menyamai kerja profesional di dalam pasaran sama. Susulan itu, ramai berminat untuk cuba nasib dalam merebut jawatan yang ditawarkan oleh Uniqlo tersebut.