“Saya sudah maafkan semua orang” – Kazar Saisi

“Saya sudah maafkan semua orang” – Kazar Saisi

 

Pelakon Kazar Saisi menganggap kecaman diterima berkaitan kontroversi membabitkan anak perempuannya iaitu Ira Kazar sebagai takdir hidup.

Tidak mengambil endah kecaman netizen, Kazar atau Kazaruddin Saisi, 65, sebaliknya sudah memaafkan sesiapa sahaja yang pernah melemparkan kata-kata tidak baik terhadap dirinya.

Pada usianya sekarang kata Kazar, perkara berkaitan dunia bukan lagi tumpuan sebaliknya mahu mengejar akhirat yang abadi.

“Hal dunia saya sudah tidak kisah. Sekarang mahu cari akhirat sahaja. Hak masing-masing (nak bercakap apa) dan saya sudah maafkan semua orang.

“Sebabnya benda ini pun semuanya sudah tertulis, tak perlu nak marah,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Kazar memberitahu dia sudah enam bulan kurang mendapat tawaran lakonan.

Bagaimanapun jelasnya, perkara itu bukan disebabkan terpalit kontroversi Ira malah beberapa rakan seangkatan lain turut mengalami situasi serupa.

“Sejak enam bulan lepas memang kurang tawaran kerja. Tak tahu kenapa… Tidak juga disebabkan itu (kontroversi).

“Malah rakan-rakan lain pun hadapi perkara sama. Mungkin belum ada rezeki saya,” ujarnya.

Mengulas mengenai keputusan Ira bergelar penyanyi selepas bercerai dengan pengarah Syamsul Yusof, Kazar tidak mempunyai masalah dengan perkara itu.

Sebagai bapa kata Kazar, dia menyokong keputusan dibuat Ira namun sering berpesan agar anak kesayangannya itu menjaga diri apabila bergelar selebriti.

“Saya tak masuk campur sebab Ira pun sudah dewasa… Saya tak galakkan dan tidak pula menghalang.

“Dia tak ada minta izin pun sebab itu keputusan dia sendiri. Cumanya saya minta dia jaga diri,” katanya.

Sebelum ini keluarga Kazar menjadi tumpuan netizen selepas Ira atau Ira atau Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, berkahwin dengan Syamsul pada 6 Januari tahun lalu di Thailand.

Bagaimanapun perkahwinan pasangan itu tidak bertahan lama apabila mereka bercerai talak satu pada 5 September lalu.