“Kau ada hak ke?” – Selamba buat ‘live’ TikTok di tempat kemalangan, dua lelaki kejung ditegur polis

“Kau ada hak ke?” – Selamba buat ‘live’ TikTok di tempat kemalangan, dua lelaki kejung ditegur polis

 

Sudah menjadi satu kebiasaan pula buat sesetengah individu melakukan ‘live’ di media sosial apabila kebetulan berada di lokasi kemalangan.

Tindakan sedemikian dilihat tidak beradab dan boleh mengundang kepada pandangan negatif jika tersebar.

Baru-baru ini, tular beberapa klip video yang merakam sebuah live yang dipercayai dilakukan oleh dua orang lelaki tempatan yang dikatakan telah meredah lokasi kemalangan sesuka hati.

Di dalam rakaman yang tular, didapati seorang penunggang motosikal bersama pemboncengnya dimarahi oleh seorang individu yang dipercayai anggota polis.

Kejadian itu berpunca daripada tindakan mereka yang membuat siaran langsung menerusi platform TikTok di lokasi kemalangan malah telah disaksikan oleh lebih 5,000 pengguna pada ketika itu.

Dalam rakaman video tersebut, boleh kedengaran anggota berkenaan menyoal dan menegur kedua-dua lelaki itu dengan tegas.

“Kamu ada hak atau etika sebagai pemberita ke? Tak ada kan? Kalau tak ada hak sebagai pemberita, kamu tak layak buat siaran langsung. Kamu jangan nak meraih simpati kepada orang yang sudah meninggal dunia.

“Apa yang kamu faham tentang etika pemberita? Kamu ada kelayakan sebagai pemberita ke? Apa yang seronok sangat kamu buat siaran langsung ini?” katanya.

Dalam masa sama, anggota polis berkenaan turut mengaitkan tindakan mereka dengan trend Mat Rempit yang sering melakukan siaran langsung pada waktu malam.

Bagaimanapun, dua lelaki terbabit hanya memberi respons sepatah sahaja di samping hanya membisu sepanjang ditegur oleh anggota polis itu.

Menjengah ke ruangan komen ciapan, rata-rata netizen merasa puas hati dengan anggota polis yang ‘membasuh’ dua lelaki terbabit di samping menjadi peringatan kepada orang ramai untuk tidak melakukan perkara itu apabila berada di lokasi kemalangan.

Ramai juga berpendapat jika kalau orang awam hanya akan mengganggu sebarang urusan pihak berkuasa dalam melakukan forensik dan sebagainya ketika di lokasi kemalangan dan lebih teruk lagi boleh mengganggu pengguna jalan raya lain dek meletakkan kenderaan berhampiran lokasi sehingga sesak.