Netizen Indonesia gesa siasat roti bercampur bahan terlarang dijual kepada kanak-kanak

Netizen Indonesia gesa siasat roti bercampur bahan terlarang dijual kepada kanak-kanak

 

Platform media sosial di Indonesia kecoh dengan dakwaan mengenai sebuah produk roti yang dituduh mengandungi bahan membahayakan kesihatan yang dijual kepada orang ramai termasuk kanak-kanak.

Video mengenai perkara tersebut tular di TikTok sejak minggu lalu memaparkan seorang individu membuka sebuah bungkusan roti dan menyelidik isinya.

Selepas membelah roti berkenaan, individu terbabit dilihat mengeluarkan dua benda asing didakwa menyerupai pil dari bahagian dalam bahan makanan tersebut.

“Hati-hati. Waspada dengan roti ini. Di dalamnya terdapat dua pil yang dapat melumpuhkan anak anda,” ujar tulisan pada hantaran video tersebut.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jenama roti yang terlihat dalam video berkenaan sementara waktu dan kesahihan klip terbabit juga tidak dapat dipastikan.

Dalam pada itu, sebuah akaun di laman X turut meminta agar pemimpin yang bertanggungjawab dalam isu soal keselamatan makanan iaitu Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), Haikal Hasan supaya menyiasat kepada dakwaan tersebut.

Pada masa sama, di ruangan komen, terdapat warganet berkata bahawa video tular itu berkemungkinan merupakan usaha pihak tertentu untuk mencemarkan imej jenama produk roti terbabit.

Ini kerana menurut mereka, video berkenaan tidak menyediakan maklumat yang lengkap dan disifatkan bertujuan hanya mahu mencipta imej buruk terhadap jenama roti tertentu.

“Boleh jadi usaha bagi mencemarkan nama baik (produk),” tulis khalisa.

“Biasanya kalau macam ini mungkin ada isu persaingan perniagaan,” ujar thathawa72.

Setakat laporan ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung dakwaan tular berkenaan.