Tersalah pilih warna tudung, wanita terkejut tengok gambar sendiri selepas ‘renew’ pasport

Tersalah pilih warna tudung, wanita terkejut tengok gambar sendiri selepas ‘renew’ pasport

 

Seorang wanita langsung tidak menyangka tindakannya yang tersalah memilih warna tudung ketika melakukan proses pembaharuan pasport bakal ‘membuahkan hasil’ menyeramkan.

Berkongsi pengalamannya, wanita dikenali sebagai Kak Ojie itu berkata kejadian bermula apabila dirinya hadir ke sebuah kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Kak Ojie yang merupakan usahawan nasi lemak terkenal itu hadir ke kaunter berkenaan untuk mengambil gambar pasport baharu bagi urusan memperbaharui dokumen berkenaan.

Walau bagaimanapun, tudung berwarna biru muda yang dipakai Kak Ojie ketika kejadian dikatakan tidak melepasi syarat sehingga pegawai bertugas menghulurkan sehelai selendang berwarna hitam.

Selendang tersebut kemudian dipakai Kak Ojie bersama tudungnya sebelum gambarnya diambil oleh petugas di kaunter imigresen berkenaan untuk proses pembaharuan pasport.

Namun alangkah terkejutnya wanita itu apabila melihat hasil gambar tersebut tidak seperti yang dijangka malah tampak seakan menyerupai watak dalam filem seram iaitu The Nun.

“Jadi pada minggu lalu, saya pergi ke UTC untuk urusan perbaharui pasport. Ingatkan tudung dengan warna ini (biru muda) sudah dikira ‘okay’. Tetapi malangnya tidak lepas.

“Jadi pegawai imigresen itu berikanlah selendang warna hitam. Hari ini masa nak ambil pasport, perkara pertama yang saya tengok adalah gambar. Saya rasa teraniaya! Awas ya kau!,” katanya dalam nada berseloroh.

Perkongsian itu dibuat Kak Ojie yang juga merupakan pempengaruh media sosial itu menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Mengambil iktibar daripada pengalaman lucunya itu, Kak Ojie juga sempat memberi saranan kepada orang ramai untuk memilih tudung berona gelap atau lebih baiknya warna hitam untuk urusan gambar pasport.