Bateri remote ‘kong’ walaupun tak pernah guna? Ini tips simpan kunci kereta spare

Bateri remote ‘kong’ walaupun tak pernah guna? Ini tips simpan kunci kereta spare

 

Pernahkah terjadi kepada anda situasi mencemaskan apabila alat kawalan jauh kereta entah ke mana, yang simpanan pula tiba-tiba tidak berfungsi sedangkan bateri ada. Bila diperiksa, rupa-rupanya bateri pula habis tanpa diketahui puncanya.

Tahukah anda, sebenarnya ada satu cara yang boleh anda lakukan untuk mengelak daripada situasi cemas tadi berlaku setiap kali ada kecemasan.

Menerusi perkongsian seorang guru, Wan Abdullah dalam kumpulan Facebook Toyota Vios 2023 4th Gen Official Fan Club (Malaysia), ada satu cara anda boleh cuba untuk menjimatkan bateri alat kawalan jauh tambahan kereta anda.

Ikuti cara-cara mengaktifkan mod power saving bateri alat kawalan jauh kereta anda di bawah.

Pertama sekali, anda pelu tekan butang Lock dengan lama. Dalam masa yang sama, tekan butang Unlock dua kali. Kemudian, pastikan lampu LED yang berwarna merah di alat kawalan jauh anda berkelip sebanyak empat kali. Selesai.

Ketika ini, alat kawalan jauh kereta anda sudahpun berada dalam mod power saving.

Menurut Wan Abdullah, dalam mod ini, alat kawalan jauh tidak akan menghantar apa-apa isyarat. Malah, ia turut menggunakan bateri dalam jumlah yang paling kecil.

“Kereta tak akan kesan alat kawalan jauh walaupun alat itu dibawa berdekatan kereta,” kongsinya.

Menerusi perkongsian yang sama, Wan Abdullah turut kongsikan cara untuk mengaktifkan semula alat kawalan jauh tadi.

“Tekan saja mana-mana butang pada alat kawalan jauh tersebut,” tambahnya.

Dengan semudah ini, tiada lagi risiko keadaan yang cemas bertambah haru-biru disebabkan bateri alat kawalan jauh tambahan anda habis begitu sahaja.

Cara ini hanya terbukti berkesan terhadap kereta berjenama Toyota dan Perodua.

Ketika ditemubual, Wan Abdullah memberitahu dia telah mencuba kaedah ini berkesan bagi alat kawalan jauh Vios dan Ativa.

“Setakat yang saya cuba, cara ini menjadi dekat alat kawalan jauh Ativa yang reka bentuk kuncinya sama dengan Vios,” katanya.

Selamat mencuba.