Sumbat bayi dalam kotak bijirin, pelajar Malaysia disabit kesalahan membunuh di UK

Sumbat bayi dalam kotak bijirin, pelajar Malaysia disabit kesalahan membunuh di UK

 

Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di London telah didapati bersalah atas kesalahan membunuh selepas meletakkan bayi yang baru dilahirkannya ke dalam kotak bijirin sebelum menyembunyikannya dalam sebuah beg pakaian.

Menurut laporan Independent, pelajar wanita berkenaan, Teo Jia Xin, 22, tiba dari Malaysia awal tahun ini untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Coventry di London.

Teo dikatakan melahirkan bayi cukup bulan itu pada 4 Mac lalu dan meletakkannya ke dalam kotak bijirin yang ditutup dengan beg plastik, sebelum sembunyikan bayi itu ke dalam beg pakaian.

Selain itu, pelajar ini juga difahamkan telah pergi ke hospital dengan menunjukkan tanda-tanda baru melahirkan anak tetapi menafikannya apabila ditanya kakitangan hospital.

Namun Teo akhirnya mengaku telah melahirkan bayi itu dan hanya memberitahu pihak polis di mana dia menyembunyikannya dua hari kemudian.

Menurut polis, Teo tidak mendapat bantuan perubatan dan melahirkan bayi itu di rumah. Dia merahsiakan perkara tersebut dari rakan serumahnya kerana tidak mahu diketahui keluarga dan rakan-rakan di Malaysia yang berkemungkinan menjejaskan pelajarannya.

Ketika kes ini dibicarakan di mahkamah, Teo mendakwa mendengar suara yang mengarahkannya untuk membunuh atau mencederakan bayi itu, namun juri Mahkamah Warwick menolak pembelaannya.

Warwick

Pihak pendakwaan berhujah mengatakan bayi tersebut ‘masih hidup selepas dilahirkan dan berpotensi untuk terus hidup, tetapi Teo membuat keputusan untuk meletakkannya dalam kotak bijirin dengan mengetahui ia akan menyebabkan kematian bayi itu’.

Dalam pada itu, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk menjatuhkan hukuman terhadap Teo.