Berang ditegur main mercun, bakal pengantin tumbuk hidung jiran

Berang ditegur main mercun, bakal pengantin tumbuk hidung jiran

 

Seorang bakal pengantin perempuan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, didenda RM400 selepas mengaku bersalah mencederakan jiran dengan menumbuk hidungnya apabila berang ditegur bermain mercun, April lalu.

Tertuduh, Nadira Mohd Yusoff, 24, yang juga operator kilang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin selepas pertuduhan dibaca jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Nadira yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan Disember ini didakwa melakukan kekerasan jenayah ke atas mangsa berusia 25 tahun di sebuah rumah di Rengit, di sini, pada jam 9 malam, 10 April lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 358 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sebulan atau denda RM400 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada jam 8.30 malam, ketika mangsa berada di rumahnya terdengar bunyi mercun yang dimainkan tertuduh yang juga jirannya.

Mangsa kemudian keluar dan menegur perbuatan itu, namun abang ipar tertuduh memarahi mangsa hingga tercetus perang mulut antara mereka.

Keluarga mangsa kemudian ke rumah tertuduh untuk menyelesaikan masalah terbabit, sebaliknya wanita itu bertindak menumbuk hidung mangsa.

Akibatnya kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Rengit, pada malam kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala Nadira diwakili peguam Mohd Razak Shariff.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM400 dan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima hari jika gagal membayarnya.