21 tahun hidup berjimat, lelaki ini mampu bersara pada usia 45 tahun dengan simpanan RM4 juta

21 tahun hidup berjimat, lelaki ini mampu bersara pada usia 45 tahun dengan simpanan RM4 juta

 

Seorang lelaki Jepun menarik perhatian apabila menjalani kehidupan sangat berjimat cermat selama 21 tahun kerana ingin menjimatkan sehingga AS$640,000 (kira-kira RM2.9 juta).

Usahanya dengan matlamat bersara awal itu membuahkan hasil apabila dia baru-baru ini mengumumkan bersara dengan AS$860,000 (kira-kira RM4 juta).

Memetik laporan South China Morning Post, lelaki yang tidak dikenali itu yang berusia 45 itu memulakan rancangan simpanannya pada awal 2000-an, selepas mendapat pekerjaan yang stabil.

Syarikatnya memerlukan pekerja bekerja lebih masa, dengan kadang-kadang sehingga lewat malam.

Dalam usaha untuk menjalani gaya hidup ‘bebas kewangan, bersara awal’, lelaki itu yang memperoleh gaji tahunan kira-kira AS$32,000 (kira-kira RM192,000) merangka rancangan teliti untuk menjimatkan 100 juta yen (AS$640,000 atau kira-kira RM2.9 juta), seawal mungkin.

Dia bermula dengan memberi dirinya identiti dalam talian sebagai ‘Lelaki Yang Pasti Akan Berhenti Kerja’ sebagai motivasi.

Selama lebih dua dekad, dia tinggal di asrama syarikat, membayar AS$190 (kira-kira RM887) sebulan untuk sewa, dan mencari peralatan dan perabot rumah yang dibuang oleh pemilik asal.

Makanannya sangat menjimatkan, dengan makan malam biasa mungkin terdiri daripada plum masam, beberapa sayur masin dan semangkuk nasi.

Kadang-kadang makan malam itu hanyalah minuman tenaga, yang diperolehnya menggunakan mata percuma dari kedai serbaneka.

Dia juga akan mengambil minuman berkarbonat dan biskut sebagai hidangan malamnya sambil menonton filem bertemakan penjara dan bergurau bahawa kehidupannya dalam syarikat itu tidak berbeza dengan menjalani hukuman penjara 20 tahun.

Selepas ketuhar gelombang mikronya pecah, dia juga beralih kepada makan keledek dari musim sejuk ke musim panas, dengan memasaknya menggunakan haba musim panas di cermin depan kereta rakan sekerjanya.

Selain itu, dia tidak pernah menggunakan penyaman udara atau pemanas, sebaliknya memilih untuk menyejukkan badan pada musim panas dengan kemeja-T basah dan memanaskan badan pada musim sejuk dengan melakukan gerakan mencangkung (squat).

Usahanya membuahkan hasil awal tahun ini apabila dia mengumumkan di media sosial bahawa dia akhirnya berjaya mencapai sasaran simpanan AS$860,000 (kira-kira RM4 juta) selepas 20 tahun 10 bulan bekerja untuk syarikat itu.

Selepas mencapai kebebasan kewangan, kehidupannya bertambah baik.

Dia kini menikmati empat telur rebus untuk sarapan pagi dan membeli ketuhar gelombang mikro supaya dia boleh menikmati hidangan panas.

Bagaimanapun, kegembiraannya tidak lama, kerana baru-baru ini mendedahkan bahawa simpanannya menyusut secara mendadak akibat penyusutan nilai Yen sejak awal tahun ini.