Rupanya ini maksud sebalik mantera ‘niat enson matakaji semar ngiseng, rampo ngiseng semar tilem’

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni Malaysia. Sepanjang hidupnya, beliau telah meninggalkan legasi yang kekal dalam industri hiburan tempatan.
Beliau bukan sahaja terkenal sebagai pelakon, tetapi juga sebagai pengarah, penyanyi, dan komposer yang berbakat.
Tambahan pula, Tan Sri P. Ramlee turut memainkan peranan sebagai salah seorang pelakon dalam filem arahan beliau sendiri seperti filem komedi bersiri Bujang Lapok.
Filem berkenaan juga turut dibintangi beberapa pelakon terkemuka yang lain antaranya S. Shamsuddin dan Aziz Satar.
Mungkin ramai diantara kita yang masih mengingati babak P. Ramlee selaku Ketua Penyamun membaca mantera untuk membuka atau menutup pintu gua persembunyian mereka dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.
Mantera berkenaan bukanlah mantera yang sebenar. Sebalik adalah frasa dalam bahasa Jawa dan mempunyai maksud yang melucukan apabila diterjemah ke dalam bahasa Melayu.
Untuk pengetahuan, ketika hendak membuka pintu gua yang menjadi markas mereka, P. Ramle akan menyebut frasa ‘niat enson matakaji semar ngiseng’. Manakala ketika hendak pintu gua pula, beliau menyebut ‘rampo ngiseng semar tilem’.
Menerusi hantaran Movie Addict MY di Facebook, individu ini telah mendedahkan ‘rahsia’ disebalik mantera ini yang pada awalnya dianggap mengarut.
‘Niat enson matakaji semar ngiseng’ bermaksud ‘niat saya nak intai orang buang air besar’, manakala ‘rampo ngiseng semar tilem’ bermaksud ‘lepas buang air besar orang tidur’.
Rata-rata pengguna sosial media memuji kebijaksanaan Allahyarham dalam menghasilkan pelbagai dialog yang diingati sepanjang zaman.
Semua pasti tahu bahawa semua filem yang dihasilkan oleh P. Ramlee mempunyai sindiran sinis yang penuh pengajaran kepada masyarat.
Malah, setiap dialog terkadang diucap secara spontan namun masih menerapkan unsur didikan secara tersirat.
Tan Sri P. Ramlee menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mei 1973 iaitu ketika beliau berumur 45 tahun kerana diserang penyakit jantung.
Kematian Tan Sri P. Ramlee merupakan satu kehilangan dan kerugian besar kepada negara, khususnya dalam dunia hiburan.
Allahyarham merupakan tokoh seni ulung yang tiada tolok bandingnya di Malaysia dan Asia. Sehingga ke saat ini, tiada tokoh dalam dunia hiburan tanah air yang dapat menyamai atau menyaingi legasi ditinggalkan Allahyarham.