2 pelajar Malaysia lolos ke Kolej Harvard, pecah rekod kemasukan prestij

2 pelajar Malaysia lolos ke Kolej Harvard, pecah rekod kemasukan prestij

 

2 pelajar Malaysia lolos ke Kolej Harvard, pecah rekod kemasukan prestij

Dua pelajar Malaysia berjaya diterima masuk ke Kolej Harvard, institusi sarjana muda ternama Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS) untuk tahun akademik baharu yang akan berakhir pada 2029.

Presiden Kelab Harvard Malaysia, Wan Nadiah Wan Abdullah Yaakob berkata, kedua-dua pelajar tersebut ialah Athena Siow dari Kuala Lumpur, yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang sains data (kerajaan), dan Namira Lee Tzu dari Kuala Terengganu, yang bercadang mengambil jurusan sains dan kejuruteraan alam sekitar.

Menurutnya, Athena yang menerima biasiswa Yayasan UEM merupakan bekas pelajar Kolej Yayasan Saad manakala Namira tamat pengajian sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin dan menerima biasiswa Global Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Kolej Harvard mengekalkan kadar kemasukan pelajar sarjana muda antara yang terendah di dunia dan terus mencari pelajar berbakat dari seluruh dunia yang menunjukkan komitmen menggunakan sumber sedia ada di sekeliling mereka untuk menyumbang ke arah dunia yang lebih baik.

“Kami sangat berbangga kerana pelajar yang diterima masuk dari Malaysia masih terdiri dalam kalangan pelajar sekolah kerajaan, dan semakin ramai daripada latar belakang berpendapatan sederhana di luar wilayah Lembah Klang,” katanya pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Nadiah turut berkongsi bahawa Athena adalah antara wakil Malaysia di Persidangan Belia COP 2023 di Dubai dan aktif memperjuangkan isu keadilan iklim, selain melatih lebih 100 gadis melalui program Pandu Puteri.

Jelasnya, Athena juga mengajar catur secara percuma kepada anak muda di Melaka dan menjadi sukarelawan di sekolah pelarian setempat.

Sementara itu, tambah Wan Nadiah, Namira pula aktif dalam pemuliharaan alam sekitar dan perkara itu merupakan salah satu sebab beliau terpilih untuk Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara yang ditaja oleh AS di Illinois serta Washington D.C.

“Namira menerima geran selama dua tahun berturut-turut yang digunakannya untuk memulakan projek pemuliharaan penyu bersama pelajar sekolah menengah dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

“Projek pemuliharaan ini kemudian diperluaskan kepada pelajar sekolah rendah Cina,” ujarnya.

Universiti Harvard merupakan universiti tertua di AS dan menduduki tempat keempat dalam QS World University Rankings 2024. Sehingga kini, Malaysia hanya mempunyai kurang daripada 15 graduan dari Kolej Harvard.