Beli harga serendah RM1.7k, YouTuber automotif di AS mahu popularkan Proton Impian
Jika sebelum ini ada seorang lelaki dari negara matahari terbit bangga dengan kereta Kelisa miliknya, kini seorang lelaki dari Amerika Syarikat memperlihatkan kereta kebangsaan yang baru dibelinya dengan penuh keterujaan.
Jon Coupland yang juga bergelar YouTuber automotif berkongsi kisah pemilikan kereta terbaharu iaitu Proton Impian yang mana dihasilkan oleh negara tercinta kita.
Di dalam hantaran akaun Facebook miliknya, Jon menceritakan yang dia merupakan pemilik kedua untuk kereta Proton Impian berkenaan yang mana pemilik pertamanya sudah memberi kepercayaan kepadanya untuk menjaga hidden gem ini.
Walaupun sudah berusia lebih 20 tahun lamanya, kereta Impian yang dimiliknya tampak seperti baru dan menariknya ia hanya mempunyai milage serendah 19,255 batu sahaja.
“Ia bermaksud impian di dalam bahasa Malaysia. Saya kini merupakan pemilik kedua Proton Impian yang cantik ini. Miliki engin 1.6GLS, hanya bergerak 19,255 batu.
“Ray, penjaga pemilik sebelum ini, telah menggantung sarung tangan pemanduannya dan telah memberi kepercayaan kepada saya. Saya telah memberitahunya bahawa kita akan menjadikannya terkenal. Jangan kita kecewakan dia,” tulisnya pada hantaran FB.
Untuk makluman, Proton Impian adalah sama sahaja seperti Proton Waja tetapi telah dijenamakan semula untuk pasaran Eropah. Kereta sedan ini dikuasakan dengan engin Mitsubishi 4G18 1.6L serta menggunakan transmisi manual menerusinya.
Pada satu video yang baru dimuat naik, dia mendedahkan telah membeli kereta sedan pada harga serendah £300 (~bersamaan tukaran semasa RM1,671.04).
Menyemak latar belakangnya, dia terbukti seorang peminat hardcore untuk jenama Proton dan mempunyai koleksi beberapa kereta kebangsaan Malaysia seperti Proton Saga dalam warna putih dan hitam yang dijaga rapi.