Kanak-kanak melecur di bilik jana kuasa elektrik TNB kembali ke sekolah selepas hampir setahun
Seorang budak lelaki, Mohd Darwisy Zarif Mohd Khairi, 13, yang pernah melecur satu badan selepas mengambil bola dalam bilik stesen janakuasa elektrik TNB sekitar 16 November tahun lalu kembali ke sekolah selepas hampir setahun kejadian itu berlaku.
Perkembangan tersebut dimaklumkan sendiri oleh ibu saudara Darwisy yang dikenali sebagai Asyifa Ghazali di laman TikToknya meluahkan rasa syukur apabila Darwisy sudah mulakan sesi persekolahan sebagai pelajar tingkatan 1, baru-baru ini.
@eyfaghazali2696 alhamdulillah selepas 336hari adik darwisy hrini mula brsekolah kembali..kepada tuan puan..yg selalu tnya tentang adik darwisy..tnya khabar adik darwisy terima kasih bnyk2 ya tuan puan semua..🫶🫶 #adikdarwisytnb
Dalam perkongsian tersebut, dapat dilihat kesihatan Darwisy semakin baik walaupun pernah mengalami lecur sehingga 50 peratus pada badannya dan menggunakan alat bantuan pernafasan ketika menerima rawatan.
Malah, Darwisy yang ketika itu berusia 12 tahun terpaksa ditidurkan kerana kritikal akibat daripada kejadian tersebut.
“Alhamdulillah selepas 336 hari adik Darwisy hari ini mula bersekolah.
Kepada tuan puan yang selalu tanya tentang adik Darwisy, tnya khabar adik Darwisy terima kasih banyak-banyak ya tuan puan semua,” ujar Asyifa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa syukur dan kagum apabila melihat Darwisy bersemangat ke sekolah walaupun terpaksa memakai sarung tangan bagi melindungi serta memulihkan kesan lecur.
Dalam pada itu, ramai mendoakan agar segala urusan Darwisy sentiasa dipermudahkan dan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat.
Terdahulu, Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi dikatakan bermain bola sepak bersama rakan-rakannya sebelum bola termasuk ke dalam kawasan bilik jana kuasa TNB di Taman Seri Bayu, Bayan Lepas, George Town, Pulau Pinang.
Mangsa bertindak masuk ke bilik tersebut untuk mengambil bola dikatakan terjatuh sebelum terkena renjatan elektrik dan dia kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.