Dari tepi jalan, Amir Raja Lawak lebarkan sayap dengan menjual ayam goreng

Dari tepi jalan, Amir Raja Lawak lebarkan sayap dengan menjual ayam goreng

 

Selepas tujuh tahun menjalankan perniagaan air, pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak terus melebarkan sayap dengan menjual ayam goreng.

Perniagaan dijalankan secara francais di bawah jenama APFC itu diusahakan di premisnya di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini.

Selepas beberapa minggu beroperasi, Amir atau nama sebenarnya, Mohammad Amirullah Azmi, 35, mengakui rasa terujanya mencuba produk jualan baharu dengan kaedah jualan berbeza berbanding air yang sudah diusahakannya sejak sekian lama.

“Sebelum ini, saya jual air dalam botol tanpa kedai, sebaliknya dimuatkan dalam but kereta dan jualan tepi jalan.

“Kali ini, saya memiliki kedai sendiri dan walaupun ia diusahakan secara francais, tapi jualan begini sesuatu yang baharu dan agak mencabar,” katanya ketika ditemui BH Online.

Anak jati Kelantan yang berasal dari Jalan Bayam itu berkata, dia hanya mengikut sahaja rentak apa yang diceburi, meskipun belum mencapai persediaan mental dan fizikal secara 100 peratus untuk berdepan cabaran dalam bidang jualan makanan dan minuman.

Menurutnya lagi, impiannya mahu bergelar usahawan berjaya dan semangat bergiat dalam perniagaan atas dorongan keluarga.

“Prinsip saya mudah, bersedia atau tidak, terus sahaja buat. Saya hanya ikut rentak dan sedia terima segala cabaran,” katanya.

Menyentuh mengenai aktiviti seninya, Amir yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Raja Lawak berkata, dia masih menerima banyak tawaran berlakon, namun terpaksa menolak disebabkan kesibukan menguruskan perniagaan.

Amir berkata, dia akan kembali aktif dan menyusun semula jadual aktiviti seninya kerana menyifatkan bidang seni sudah sebati dengan jiwanya, mulai tahun depan.

“Banyak tawaran berlakon terpaksa saya tolak kerana terlalu sibuk menguruskan perniagaan dan banyak berada di Kelantan, selain lokasi penggambaran agak jauh.

“Cuma, saya mula terima persembahan makan malam, tapi bermula tahun depan. Insya-Allah saya juga akan kembali aktif berlakon, tak boleh lupakan terus berlakon sebab saya bermula dalam bidang seni,” katanya.