“Gaji RM1,600 nak ambil Vios” – Mahu beli kereta tak ikut poket sendiri, jurujual kongsi ragam anak muda

“Gaji RM1,600 nak ambil Vios” – Mahu beli kereta tak ikut poket sendiri, jurujual kongsi ragam anak muda

 

Pada minggu lalu, kecoh di media sosial pendedahan seorang jurujual mengenai kisah pelanggannya yang bergaji RM3,000 mahu membeli kereta Mercedes A45S.

Hantaran yang dikongsikan di Threads itu nyata mendapat perhatian kerana ramai yang berpendapat pelanggan berkenaan mempunyai ‘selera besar’ tanpa mengukur keupayaan diri apabila mahu membeli kereta di luar kemampuan.

Kisah yang sama turut dikongsikan oleh seorang jurujual syarikat kereta terpakai, Hamidi Garage apabila boleh dikatakan kebanyakan pelanggannya turut menunjukkan sikap yang sama.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok @syafiqpikkkk, penjual (SA) itu berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp daripada pelanggannya sendiri.

Melalui perkongsian berkenaan, dia yang dikenali sebagai Syafiq telah meminta kesemua pelanggannya untuk mengisi beberapa maklumat antaranya seperti umur, kereta pilihan, pekerjaan, gaji pokok dan gaji bersih bagi memudahkan dia untuk menyemak kelayakan.

Namun, apa yang menjadi perhatian adalah kebanyakan pelanggannya itu mempunyai gaji bersih di antara RM1,000 hingga RM1,800.

Lebih mengejutkan, majoriti daripada mereka merupakan golongan muda yang berusia 20an dan kebanyakan kereta yang dipilih adalah di luar kemampuan antaranya seperti Honda Civic (Ketam), Toyota Vios dan Honda City.

Selain daripada jumlah pendapatan yang dilihat agak rendah, ada di antara pelanggannya itu juga tidak mempunyai lesen.

Malah, ada yang sedang berada dalam senarai hitam (blacklist) walaupun gaji bulanan agak banyak.

“Sedikit ragam customer (pelanggan) Syafiq. Banyak datang dari golongan muda.

“Ingat, beli kereta bukan bayar sebulan dua. Menyesal tak sudah nanti,” tulisnya di ruang kapsyen.

Video yang telah mendapat lebih 260,000 tontonan itu nyata menarik perhatian ramai.

Rata-rata daripada mereka mengecam dan mempersoal sikap pelanggan jurujual berkenaan yang dilihat mahu membeli kereta tidak mengikut kemampuan.

Malah, ada pengguna yang mempunyai pendapatan melebihi daripada pelanggan Syafiq membuat perbandingan dengan diri sendiri yang lebih memilih kereta biasa.

Namun, ada juga yang berpendapat tiada salahnya jika mereka mahu membuat pembelian asalkan mereka mampu membayar komitmen bulanan berkenaan.