Indonesia dakwa Malaysia ada ‘harta karun’ bernilai trilion ringgit

Indonesia dakwa Malaysia ada ‘harta karun’ bernilai trilion ringgit

 

Tidak dapat dinafikan, Malaysia kini menjadi perhatian dunia apabila terus maju, selain mata wang negara yang dilihat terus positif.

Hal ini sudah pasti membawa dampak positif buat negara, terutama apabila Malaysia ‘diserang’ pelabur asing yang berlumba-lumba mengaut keuntungan.

Lebih-lebih lagi dengan perkembangan industri pusat data (data center) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meningkat  di bumi bertuah ini.

Umum diketahui, pusat data memainkan peranan yang sangat penting. Ia merupakan infrastruktur yang menyimpan, melatih dan mengurus data dalam skala besar.

Kos pembinaannya sahaja menelan perbelanjaan yang sangat tinggi, boleh mencapai sehingga trilion Ringgit.

Bagaimanapun, pembinaannya dilihat ‘berbaloi’ apabila P&S Intelligence melaporkan pasaran global pusat data dijangka mencecah AS$ 622.4 bilion (kira-kira RM2.68 trilion) menjelang 2030.

Faktor ini menjadikan pembinaan pusat data sebagai satu perlumbaan global untuk mendapatkan keuntungan daripada ‘harta karun’ digital ini.

Menurut media Indonesia, Malaysia terutama di kawasan Johor, sedang menerima perhatian besar daripada pelabur asing dalam sektor pusat data.

Bahkan, beberapa syarikat besar telah melabur di Malaysia, termasuk ByteDance yang melabur sebanyak AS$ 350 juta (kira-kira RM1.5 bilion).

Microsoft juga dilapor membuat pelaburan apabila membeli tanah seluas 49 hektar dengan nilai AS$ 95 juta (kira-kira RM408 juta).

Google juga melabur sebanyak AS$ 2 bilion (kira-kira RM8.6 bilion) pada bulan Jun lalu untuk membina pusat data dan wilayah awan (cloud) yang pertama di Malaysia.

Terkini, Blackstone turut melabur AS$ 16 bilion (kira-kira RM43 bilion) untuk membeli operator pusat data AirTrunk, yang salah satu lokasinya terletak di Johor.

Selain itu, Oracle mengumumkan pelaburan sebanyak AS$ 6.5 bilion (kira-kira RM27 bilion) dalam sektor pusat data di Malaysia, walaupun lokasi spesifiknya masih belum diumumkan.

Secara keseluruhan, pelaburan dalam pusat data di Johor yang boleh digunakan untuk AI dan komputasi awan dijangka mencecah AS$ 3.8 bilion (kira-kira RM16 bilion) tahun ini, menurut Maybank.

“Sepintas, Johor tidak menarik. Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, ia adalah ‘lokasi yang sangat masuk akal’ untuk pelaburan,” kata Pengarah Urusan Kanan Blackstone, Peng Wei Tan.

Menariknya, tiga tahun lalu, Johor merupakan kawasan yang digunakan untuk industri kelapa sawit.

Kini, kerajaan Malaysia memfokuskan Johor sebagai hab pusat data AI untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi penyimpanan, pengurusan dan latihan sistem AI.

Kira-kira 100 batu dari kawasan hutan tropika tersebut, berdiri bangunan-bangunan pusat data yang menjadi projek pembinaan AI terbesar di dunia.

Sebelum ini, Virginia Utara, Amerika Syarikat, terkenal sebagai pasaran pusat data terbesar di dunia kerana kemudahan tenaga elektrik, tanah dan air yang mencukupi.

Namun, sumber-sumber di kawasan tersebut semakin berkurangan.

Syarikat-syarikat teknologi besar tidak lagi boleh bergantung kepada satu lokasi sahaja di Amerika Syarikat untuk membina pusat data yang banyak.

Oleh itu, mereka mula meninjau kawasan lain yang mempunyai tanah, tenaga elektrik dan air dalam jumlah besar, seperti Johor.

Malaysia juga mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan China, yang mengurangkan risiko politik bagi syarikat-syarikat yang ingin melabur di negara tersebut.

Faktor lain yang menjadikan Johor menarik ialah lokasinya yang berdekatan dengan sempadan Singapura, yang mempunyai salah satu jalur kabel internet bawah laut paling sibuk di dunia.

“Pembangunan fasiliti di Johor bukan sahaja untuk memenuhi keperluan Malaysia. Namun, ia juga untuk menyokong AI di peringkat global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Princeton Digital Group, Rangu Salgame.

Indonesia bakal ‘kejar’ Malaysia

Indonesia, melalui Ketua Asosiasi Data Center Indonesia (IDPRO), Hendra Suryakusuma, mengakui bahawa Malaysia telah mengambil langkah bijak dengan menawarkan pelbagai insentif untuk menarik pelabur asing.

Beliau juga menegaskan bahawa Indonesia perlu mempercepatkan beberapa inisiatif untuk bersaing dengan Malaysia dalam sektor ini. Contohnya seperti pemangkasan birokrasi dan pemberian insentif hijau.

Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Budi Arie Setiadi, menyenaraikan beberapa langkah yang akan diambil untuk memastikan Indonesia tidak ketinggalan.

Ini termasuk memudahkan peraturan dan memberikan insentif kepada syarikat yang melabur dalam tenaga hijau di Indoesia.

Persaingan antara Malaysia dan Indonesia dalam sektor pusat data kini semakin sengit.

Malaysia, dengan kelebihan sumber semula jadi dan infrastruktur yang kukuh, telah berjaya menarik perhatian pelabur global.

Indonesia pula berusaha memperbaiki kedudukannya melalui pelbagai reformasi untuk mengejar potensi besar dalam sektor ini.