Bagi kru kabin yang membawa jemaah Haji dan Umrah, pengalaman mereka kadang-kadang diselebungi dengan insiden yang tidak logik dan tidak dapat dijelaskan oleh akal.

Seperti perkongsian Bella dari Berjaya Air yang hadir ke podcast Borak Dalam Galley yang diacarakan oleh Zarul Umbrella dan CK Faizal ini, beliau berkongsi kisah seram membawa jemaah ke tanah suci Mekah.

Dalam video pendek yang kini ditonton sebanyak lebih 1 juta tontonan di akaun  TikTok @zarulumbrellaofficial, Bella berkongsi pengalaman jemaah haji atau umrah yang mahu beribadah ke tanah suci meninggalkan ‘barang’ sebelum berangkat untuk beribadah.

Tidak pasti apakah barang tersebut, namun di bahagian komen, para netizen mendakwa bahawa ‘barang-barang’ tersebut adalah saka yang sudah berdamping lama dengan tuannya.

Bagaimanapun, apabila ditanya apakah barang yang penumpang tinggalkan yang pernah Bella jumpa, beliau berkata bahawa setakat ini beliau tidak mempunyai pengalaman berjumpa dengan barang-barang tersebut.

Namun satu kisah seram yang beliau tidak boleh dilupakan adalah bilamana beliau mahu berehat di ‘crew bunk’, iaitu tempat tidur khas untuk kru berehat di dalam kapal terbang.

Pada waktu rehat, dia mengajak rakannya untuk naik ke ‘crew bunk’ tetapi rakannya meminta untuk dia naik dahulu.

Ketika dia tiba di atas, dia melihat rakannya sudah berada di sana.

Pelik, tetapi dia tak berfikir panjang. Cuma dia rasa hairan kerana rakan sekerjanya sampai lebih awal daripada yang disangka, tetapi tiada perbualan berlaku antara mereka. Hanya diam sahaja.

Namun, beberapa minit kemudian, ketika dia turun semula untuk mengambil barang yang tertinggal di bawah, Bella terkejut apabila bertembung dengan rakan yang baru hendak naik ke ‘crew bunk.’

“Kau di atas atau di bawah ni?” Tanya Bella dengan penuh hairan kepada rakannya.

Pada ketika itu, Bella mula rasa ada sesuatu yang tidak kena.

Apa yang dia lihat di atas tadi, kalau bukan rakannya, lepas itu siapa?

Keadaan di ‘crew bunk’ yang malap dan sunyi semakin menambah suasana misteri.

Tanpa disedari, pengalaman pelik ini mengganggu fikiran mereka, namun tiada siapa yang menyangka kejadian yang lebih aneh akan berlaku selepas penerbangan berakhir.

Selepas mereka kembali ke kompaun tempat tinggal kru, rakannya tadi tiba-tiba mengalami kerasukan.

Kejadian terbabit membuatkan Zarul dan CK Faizal terkejut.

Di bahagian komen pula, netizen mengaitkan kejadian tersebut dengan ‘barang-barang’ yang ditinggalkan oleh penumpang.

“Samalah ceritanya kami yang kerja kat hotel airport nie sebulan musim haji tu mmg derita. Orang tinggalkan barang tuh macam-macam rupa. Siap masuk bilik kru kadang sian tgok mber penat-penat kene kacau,” kongsi seorang netizen.

“Oh dorang tinggalkan ke? I selalu tertanya how my grandma’s sister boleh pegi mekah for umrah banyak kali, haji dah 2 kali, tapi each time dia balik, benda tu masih ada dgn dia. like these days, makin dia tua, makin kuat benda tu wehh. Dia dah tahap sampai dah boleh ubat orang and tengok orang tu buat apa yang sampai kena kacau. Every raya, i paling takut nak duduk dekat dia,” kongsi seorang lagi netizen.