“Saya tak tahu” – Isman Hijjaz terkejut nama dikaitkan sebagai calon suami baru Ina Naim

“Saya tak tahu” – Isman Hijjaz terkejut nama dikaitkan sebagai calon suami baru Ina Naim

 

“Demi Allah, saya tak tahu (Ina akan kahwin). Serius saya memang tak tahu. Tiba-tiba nama saya pula dikaitkan,” kata anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam apabila dirinya didakwa sebagai lelaki yang bakal menikahi Ina Naim.

Isman ketika dihubungi berkata, dia tidak ada kena-mengena dengan cerita perkahwinan itu dan amat terkejut apabila namanya dikaitkan sebagai calon suami baharu, Ina yang juga balu kepada penyanyi nasyid, Allhyarham Suhaimi Saad.

“Saya amat terkejut dengan cerita ini. Tak tahu dan tak ada kena-mengena dengan saya (cerita perkahwinan). Ina pun dah saya anggap macam adik. Demi Allah, individu itu bukan saya. Saya langsung tak tahu fasal benda ini yang tiba-tiba nama saya disebutkan.

“Memanglah saya baik dengan Ina, tak dinafikan. Saya baik bukan saja dengan Ina seorang, tetapi rapat juga dengan kedua-dua ibu bapanya juga. Malah, keluarga saya sendiri pun baik dengan Ina.

“Tapi baiknya saya dengan Ina, janganlah sampai nak kaitkan saya dengan perkahwinan bersamanya. Malah, kalau kata kad kahwin sudah diedarkan, mestilah tahu juga nama bakal pengantin lelaki dan tarikh majlis berlangsung,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Isman, dia berasakan cerita berkaitan perkahwinan ini tidak berasas dan kurang manis juga untuk diperkatakan berikutan Ina seorang balu dan Suhaimi juga baharu meninggal dunia yang belum sampai setahun.

Baru-baru ini, timbul desas-desus mengenai Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Mohd Naim, 40, didakwa bakal berkahwin baharu dengan lelaki pilihan yang juga berstatus artis nasyid apabila kad jemputan sudah diedarkan di kampung wanita itu di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.

Terdahulu, Ina berkahwin dengan arwah Suhaimi atau nama sebenarnya Mohd Suhaimi Saad, 43, pada 12 Ogos 2007. Namun, Suhaimi meninggal dunia pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Hasil perkongsian hidup Ina dan arwah Suhaimi, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.