“Walaupun kita lebih kaya, berharta dan berjaya, suami tetap nombor satu” – Fasha Sandha

“Walaupun kita lebih kaya, berharta dan berjaya, suami tetap nombor satu” – Fasha Sandha

 

Pelakon, Fasha Sandha berpandangan mencari pasangan hidup yang sekufu bukan satu keutamaan dalam sebuah perkahwinan.

Fasha berkata, pasangan yang setaraf dari segi latar belakang, status atau harta bukanlah penentu kebahagiaan rumah tangga, sebaliknya perkara yang lebih penting adalah hubungan suami isteri yang harmoni, yang mana seorang isteri perlu menghormati suami walaupun wanita itu mungkin lebih berharta atau berjaya.

“Ini berdasarkan kepada pendapat peribadi saya sendiri, sekufu atau tidak itu sebenarnya jatuh nombor dua. Ini kerana, apabila kita menjadi isteri kita adalah di bawah suami walaupun kita lebih kaya, berharta dan berjaya.

“Suami tetap perlu berada di atas. Saya akan pastikan Aidil adalah suami saya dan saya perlu menghormatinya. Tidak dinafikan dalam perkahwinan ini kadang-kadang kita tidak sependapat.

“Masing-masing ada pandangan sendiri, tapi kami berdua cuba cari jalan terbaik untuk mencari penyelesaian dan titik tengah. Nak kata saya sempurna tidak, tapi saya buat demi anak-anak kami,” katanya.

Dalam masa sama, Fasha menolak tanggapan yang mendakwa kehidupan rumah tangga yang dijalani oleh pasangan selebriti cukup berat memandangkan banyak kes perceraian yang dilaporkan sejak kebelakangan ni.

“Sebenarnya bukan selebriti saja (bercerai), ramai orang di luar sana turut melalui situasi ini. Cuma kisah selebriti ini lebih mendapat perhatian dan menjadi bahan berita.

“Saya sentiasa menganggap perkahwinan ini adalah satu pinjaman yang saya tidak tahu sampai bila? Tapi dalam waktu sama, saya nak pinjaman diberikan ini berkekalan hingga akhir hayat.

“Kalau pinjaman ini hanya sementara tiada yang mampu saya lakukan kerana semua itu sudah ditakdirkan. Namun apa yang penting kita sebagai suami dan isteri perlu buat yang terbaik.

“Orang luar juga tidak boleh cepat menghakimi sesuatu perhubungan itu. Saya rasa tak wajar untuk kita memandai-mandai nak beri pendapat atau berkata tidak baik mengenai orang lain,” katanya.