Dipecat dari Auntie Anne’s, Alice Chang cuba nasib di francais aiskrim pula

Dipecat dari Auntie Anne’s, Alice Chang cuba nasib di francais aiskrim pula

 

Wanita dikenali sebagai Alice Chang yang menjadi tular selepas dipecat daripada francais Auntie Anne’s kerana mencium doh roti ketika sedang bekerja sekali lagi mencuri tumpuan di media sosial.

Menerusi satu hantaran oleh adiknya, Adeline Chang di laman Facebook, Alice dikatakan mencuba nasib untuk mendapatkan kerja di sekitar Kuala Lumpur namun akhirnya dikecewakan.

Difahamkan Alice memohon kerja di sebuah kedai aiskrim francais, Cold Stone Creamery Malaysia yang terletak di dalam pusat beli-belah, Pavilion KL.

Alice memulakan kerja baharu yang hanya bertahan sebentar.

Bagaimanapun Adeline mendakwa kakaknya tidak dibayar upah setelah bekerja separuh hari di cawangan francais terbabit.

“Tak sangka penyelia Alice sanggup menipu gaji separuh harinya, tak patut sungguh. Tidak mengapalah, saya anggap itu sebagai derma untuk syarikat.

“Berita baiknya, kakak saya bekerja dengan sangat cemerlang hari ini. Seperti yang dapat diperhatikan dalam gambar, dia memakai topi dan teliti menjaga kebersihan.

“Pelanggan yang membeli daripada dia hari ini sangat bertuah,” ujar Adeline melalui hantaran yang dibuat pada Sabtu, 12 Oktober.

Dalam pada itu, syarikat francais aiskrim Cold Stone Creamery Malaysia pantas mengeluarkan kenyataan untuk menyangkal dakwaan Adeline.

“Kami ingin menjelaskan bahawa dia (Alice) ada datang ke cawangan Pavilion KL untuk meminta kerja sambilan. Alice menyembunyikan identiti dirinya ketika membuat permohonan itu.

“Kami tidak mengambil dia bekerja dan dia juga tidak mempunyai akses kepada makanan.

“Sebagai langkah proaktif, kami sudah membersihkan kedai secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.