Lapan negeri termasuk Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka menerima geran penuh RM500,000 bagi proses naik taraf sistem saliran dan penukaran rumput.

Namun begitu, Perlis dan Kedah hanya menerima RM300,000 kerana hanya mahu menaik taraf sistem saliran dan tidak mahu menukar rumput.

Dua lagi negeri yang tidak mahu tukar rumput ialah Sabah dan Pulau Pinang.

“Empat negeri tidak menerima peruntukan itu termasuk Johor kerana stadium mereka sudah bagus. Sabah dan Pulau Pinang tidak mahu menerima peruntukan, tidak perlu naik taraf saliran dan mereka tak mahu tukar rumput.

“Sarawak pula minta ditunda kerana mereka tak boleh jalankan kerja sebelum SUKMA (Sukan Malaysia) disempurnakan.

“Memandangkan peruntukan sudah disalurkan antara Mac hingga Julai tahun ini, kita berharap negeri yang terbabit menggunakan geran itu berdasarkan skop yang sudah ditetapkan bagi memastikan tiada gangguan bagi perjalanan liga pasukan masing-masing,” Kata Hannah Yeoh.

Pada 9 Januari 2024, KBS telah mengadakan Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 yang dipengerusikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Makhota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Penawaran geran ini adalah bagi menambah baik dan meningkatkan kualiti padang dan memastikan kelancaran perlawanan bola sepak terutamanya Liga Malaysia di mana sebanyak RM500,000 ditawarkan iaitu RM300,000 bagi menaik taraf saliran dan RM200,000 untuk penanaman rumput padang.

Keperluan ini telah timbul akibat perubahan kepada kalendar Liga Malaysia susulan perlawanan tidak dapat berlangsung semasa musim hujan kerana keadaan padang becak.