Menang Artis Komedi Popular ABPBH, Senario sepakat serah trofi kepada keluarga arwah Hamdan

Menang Artis Komedi Popular ABPBH, Senario sepakat serah trofi kepada keluarga arwah Hamdan

 

Ahli kumpulan Senario sepakat serah trofi Artis Komedi Popular yang dimenangi menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABP) kepada keluarga rakan seperjuangan mereka iaitu Allahyarham Hamdan.

Menurut anggota Senario, Wahid, nama kumpulan mereka kembali menjadi perhatian ramai selepas berita pemergiaan Hamdan mendapat liputan luas.

“Kami tidak pernah anggap anugerah ini sebagai undian, tapi hadiah daripada peminat. Kami anggap kemunculan semula Senario juga disebabkan arwah Hamdan.

“Berita pemergiannya dilaporkan banyak pihak membuatkan ramai yang mula mengenali kami semula,” katanya.

Seorang lagi ahli kumpulan Senario, Saiful Apek atau Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff berkata mereka juga sudah berniat untuk menyerahkan trofi berkenaan kepada waris keluarga Hamdan.

“Kami sudah agak memang hanya dapat satu trofi kemenangan sahaja.

“Jadi dengan persetujuan sahabat lain, kami serahkan trofi ini kepada arwah,” katanya yang kemudian sama-sama membacakan surah al-Fatihah buat arwah Hamdan.

Sementara itu, Azlee pula akui tidak menyangka Senario berjaya meraih kemenangan tersebut memandangkan pesaing mereka iaitu Bell Ngasri, Jep Sepahtu, Joey Daud dan Sabri Yunus hebat belaka.

Dalam pada itu, Yasin berkongsi berita gembira memaklumkan dia dan Azlee bakal berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan Umrah, pada hujung Oktober ini.

Sekadar info, kumpulan Senario dianggotai oleh 7 pelawak iaitu Apek, Azlee, Yasin, Lan Pet Pet, Wahid, Pok Ya dan Allahyarham Hamdan.

Untuk rekod Allahyarham Hamdan Ramli meninggal dunia pada 5 Januari lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru akibat jangkitan kuman dalam darah.