Buang ratusan pekerja di Malaysia, ini alasan ByteDance

Buang ratusan pekerja di Malaysia, ini alasan ByteDance

 

Laporan ByteDance, syarikat induk TikTok yang memberhentikan lebih 700 pekerja di Malaysia heboh di media sosial dengan kebanyakan netizen menyuarakan rasa tidak adil kepada para pekerja dan meminta alasan syarikat di sebalik langkah ini.

Menurut Malay Mail, keputusan yang disahkan oleh syarikat pada hari Jumaat ini dilakukan bagi memberi laluan kepada peralihan strategik TikTok ke arah meningkatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Jurucakap syarikat menyatakan, “Kami membuat perubahan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengukuhkan lagi model operasi global kami untuk mensederhanakan kandungan.”

700 pekerja yang dibuang itu melibatkan kakitangan moderator kandungan dengan pihak syarikat mahu beralih arah ke pendekatan dengan menggunakan sistem automatik untuk menyemak setiap kandungan yang dimuat naik oleh pengguna.

Pekerja dimaklumkan mengenai pemberhentian mereka melalui e-mel pada Rabu lalu sehingga menimbulkan kebimbangan dan persoalan mengenai keselamatan pekerjaan dalam industri.

Walaupun TikTok mengesahkan mengenai pemberhentian tersebut, namun pihak syarikat mengelak daripada mendedahkan jumlah tepat pekerja yang terjejas.

Peralihan ini seiring dengan komitmen TikTok untuk melabur $2 bilion secara global dalam langkah amanah dan keselamatan tahun ini.

Difahamkan bahawa 80% kandungan yang melanggar garis panduan TikTok sebelum ini telah dialih keluar menggunakan teknologi automatik.

Langkah ini menunjukkan bahawa pihak ByteDance kini mahu  mempertaruhkan AI bagi meningkatkan lagi kecekapan dan responsif mereka dalam mengawal selia setiap kandungan yang masuk ke dalam platform.

Selain itu, tekanan kawal selia yang semakin meningkat di Malaysia turut memainkan peranan dalam langkah strategik ini.

Kerajaan Malaysia sebelum ini dalam perancangan untuk mewajibkan setiap pengendali media sosial, termasuk TikTok, untuk memohon lesen operasi menjelang Januari 2025.

Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memerangi gelombang jenayah siber yang semakin meningkat.