Kerja lipat kain mampu raih lebih RM7,000 sebulan

Kerja lipat kain mampu raih lebih RM7,000 sebulan

 

Satu perbincangan tercetus antara pengguna media sosial mengenai masalah ‘malas lipat kain’ yang membuka peluang kepada perkhidmatan melipat kain yang semakin popular kerana ramai sanggup membayar untuk mengelak tugas itu.

Menerusi sebuah hantaran oleh Temah Ulu Banat di platform X dengan kapsyen ‘Ramai boleh basuh baju, tapi tak semua orang boleh lipat kain’, dia memuat naik sebuah tangkap layar dimana seseorang yang membuat perkhidmatan melipat kain mampu meraih sehingga RM1,000 dalam seminggu.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Nurul Atikah Khairi, dia boleh mendapat sebanyak RM500 hingga RM700 jika mengambil kerja melipat kain sebanyak tiga kali seminggu.

“Top ejen kami bulan lepas dapat RM7,000 lebih. Ejen itu ambil kontrak dengan inap-inap desa,” tambahnya.

Hantaran ini telah mencetuskan perbincangan antara pengguna media sosial di ruangan komentar yang rata-rata bersetuju bahawa tugasan melipat kain adalah sesuatu yang sukar.

“Kalau di tempat saya, ada perkhidmatan lipat baju dan tolong cucikan di dobi-dobi layan diri. Kalau mahu seterika, pun ada tapi ada cas tambahan. Memudahkan kepada ibu-ibu yang bekerja,” komen Dee Gee.

“Lipat kain dan seterika baju memang leceh. Bagus kalau ada orang yang tawarkan khidmat (lipat kain) ni,” ujar Shida Muhammad.

“Betul. Yang mana berduit tapi tidak ada masa tu, serah sahaja kepada pakar (lipat baju/seterika). Kepala pun tak kusut, masalah selesai dan pakaian kemas,” kata Temah yang bersetuju dengan komen Shida tadi.