Bapa kongsi perubahan anak, perjelas kenapa UPSR dan PT3 wajar dimansuhkan

Bapa kongsi perubahan anak, perjelas kenapa UPSR dan PT3 wajar dimansuhkan

 

Beberapa hari ini, banyak perbincangan hangat timbul mengenai pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di peringkat sekolah. Ada yang berpendapat peperiksaan tersebut perlu dikembalikan, manakala ada juga ibu bapa yang semakin memahami sebabnya pemansuhan ini berlaku.

Seorang warganet di laman Facebook ada berkongsikan pendapatnya yang diukur melalui perubahan yang dialami oleh anaknya dan juga perbandingan yang dibuat untuk sistem pendidikan dahulu dan sekarang.

Meletakkan diri sebagai seorang bapa kepada murid yang menjalani sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), beliau menyatakan bahawa terdapat perubahan yang positif pada anaknya selepas sistem ini diperkenalkan.

“Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek cakap anak-anak bukan tikus makmal, kejap ada exam kejap takda exam… Aku sebagai bapa ni pun nampak perubahan kat anak aku selepas PBS ni diperkenalkan. Anak aku sendiri lebih enjoy pergi sekolah sebab cikgu-cikgu akan korek sedalam-dalamnya potensi yang ada kat anak aku, bukan setakat push untuk exam semata-mata.”

Dia juga mengakui bahawa selepas pelaksanaan sistem PBS, dia melihat anaknya semakin gembira untuk ke sekolah, sepertinya tiada beban yang terlalu berat untuk dipikul. Melalui PBS, fokus pendidikan bukan lagi kepada sekadar lulus peperiksaan, tetapi menggali dan mengembangkan potensi individu murid.

Pendekatan ini membantu anaknya menikmati sekolah lebih lagi daripada sebelumnya, guru kini lebih memahami kekuatan dan kelemahan pelajar secara lebih mendalam. Ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat dan minat mereka, tanpa tekanan untuk hanya berjaya dalam peperiksaan.

“PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) ni sebenarnya bantu sekolah kenal pasti kelemahan pembelajaran setiap pelajar, kemudian beri fokus terhadap kelemahan tersebut. Macam anak aku sebelum ni takda keyakinan pun nak buat matematik, suruh hafal sifir pun asyik menangis je. Tapi bila cikgu bagi tumpuan kat dia dalam subjek ni, dia jadi minat. Sekarang ni hari-hari duk soal aku pasal sifir. Aku pun dah tak ingat, jenuh guna kalkulator.”

Tambahnya dalam perkongsian itu, dia sempat menceritakan mengenai minat anaknya terhadap subjek matematik yang dahulunya menjadi mimpi negeri. Perubahan ini berlaku kerana cikgu di sekolah anaknya memberikan tumpuan secara individu bagi memastikan anaknya mahir pada subjek yang lemah, seperti Matematik.

Perubahan ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap pembelajaran, yang tidak hanya berorientasikan peperiksaan, membantu pelajar mengatasi kelemahan mereka dan mengembangkan minat terhadap subjek yang sebelum ini mereka tidak suka.

Pembelajaran menjadi lebih personal dan interaktif, di mana guru dapat memberi sokongan yang lebih fokus terhadap aspek yang memerlukan peningkatan. Ini membolehkan pelajar seperti anak individu di atas untuk mula menikmati pembelajaran dengan cara yang lebih dinamik dan tidak lagi takut terhadap subjek-subjek yang mereka rasakan sukar. Proses ini menunjukkan bahawa penilaian yang berterusan dan lebih mendalam mampu memberi impak positif jangka panjang terhadap kualiti pembelajaran.

“Kalau dulu zaman kita memang pergi sekolah, dengan tujuan nak score exam ja, tapi zaman anak kita sekarang, bagaimana nak bantu kemenjadian seorang murid itu. Kau bayangkan, kau pergi sekolah 6 tahun, semata-mata score straight A UPSR, tapi potensi yang lain kau out sebab tak pernah ditonjolkan. Kalau aku, aku rasa rugi sangat benda ni and sebab ni juga aku berpendapat UPSR, PT3 wajar dimansuhkan.”

Kita boleh lihat ada perbezaan ketara antara sistem pendidikan dulu dan sekarang. Pada zaman dahulu, pelajar dihantar ke sekolah dengan matlamat utama untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang baik seperti ‘straight A’ dalam UPSR. Namun, pendekatan ini sering mengabaikan potensi dan bakat lain yang dimiliki oleh pelajar.

Sistem pendidikan yang berfokus kepada peperiksaan mungkin menghasilkan pelajar yang cemerlang dalam akademik tetapi tidak memberikan ruang yang cukup untuk mengembangkan kemahiran dan bakat lain. Oleh itu, pemansuhan UPSR dan PT3 dilihat boleh memberikan peluang kepada pelajar untuk berkembang dengan lebih seimbang, mengembangkan potensi dalam bidang yang lebih luas selain daripada akademik.

“Tapi itulah, ramai juga yang risau bila tiada exam ni. Katanya macam mana nak ukur prestasi murid. Yang lagi best, ada yang cakap masih tak nampak hasil pun daripada pelaksanaan PBS ni. Ye, aku faham benda ni, tapi semua perubahan perlukan masa. Kalau semalam buat keputusan, bukan harini dapat hasil.”

Seperti yang dikatakan oleh saudara tersebut, memang hasil pelaksanaan PBS ini mungkin masih belum kelihatan secara menyeluruh. Namun, kesannya dijangka akan mula dirasai pada tahun 2027, apabila batch pertama yang memulakan sistem ini tamat sekolah. Pada masa itu, kita mungkin dapat melihat pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mahir dalam pelbagai bidang lain yang telah diasah sepanjang persekolahan mereka. Ini selaras dengan matlamat untuk melahirkan generasi yang lebih seimbang dan bersedia menghadapi cabaran di masa hadapan, bukan sekadar mahir menjawab peperiksaan.

Perubahan dalam sistem pendidikan adalah sesuatu yang memerlukan masa, kesabaran, dan kepercayaan. KPM telah mengambil langkah besar dengan memansuhkan peperiksaan seperti UPSR dan PT3, dan perubahan ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk membina generasi yang lebih kreatif, berinovasi, dan bersedia menghadapi dunia yang semakin mencabar.

Sebagai contoh, semakan terhadap Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada tahun 2017 dahulu mendapat pelbagai reaksi, dengan ramai yang menyatakan ia tidak sesuai apabila keputusan SPM kohort pertama pada tahun 2021 menunjukkan penurunan berbanding kurikulum terdahulu. Keputusan SPM 2021 menjadi perbahasan awam pada waktu itu kerana prestasi yang dianggap rendah. Namun, apabila memasuki tahun 2022 dan 2023, pencapaian pelajar dalam SPM semakin bertambah baik, menunjukkan bahawa perubahan ini memerlukan masa untuk mencapai hasil yang diinginkan.

Pelaksanaan KSSM ini bertujuan untuk membekalkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran, dan nilai yang relevan bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Ia juga boleh dianggap sebagai satu langkah yang membanggakan kerana KSSM merupakan kurikulum baharu yang pertama kali digunakan untuk kohort peperiksaan tersebut, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha reformasi pendidikan negara.

Proses ini secara tidak langsung mengajar kita bahawa sebarang perubahan dalam sistem pendidikan perlu diberi ruang untuk berkembang sebelum kita dapat melihat kesan positif yang sebenar.

Seperti pendapat yang disuarakan oleh seorang bapa ini, pemansuhan PT3 dan UPSR baginya dapat membantu pembelajaran anaknya sendiri dan sudah pasti beliau pun yakin dapat mengubah corak pembelajaran murid-murid seusia anaknya juga. Setiap perubahan yang dilakukan memang memerlukan masa, tapi hasilnya pasti akan memuaskan hati semua pihak pada ketika itu.

Keputusan untuk memansuhkan PT3 dan UPSR adalah langkah yang diambil dengan teliti oleh KPM. Ia merupakan sebahagian daripada usaha reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, bertujuan melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki kemahiran dan kebolehan untuk menghadapi cabaran masa depan. Reformasi pendidikan ini memerlukan masa untuk membuahkan hasil. Perubahan ini diharapkan dapat menunjukkan hasil yang positif dalam jangka masa akan datang sekaligus memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.