Suami pemandu SUV rempuh penuntut UiTM mohon maaf, tampil dedah keadaan sebenar isterinya

Suami pemandu SUV rempuh penuntut UiTM mohon maaf, tampil dedah keadaan sebenar isterinya

 

Suami kepada wanita yang memandu SUV Honda CRV melanggar empat penuntut UiTM Dungun hingga mengorbankan tiga daripada mereka, tampil memohon maaf.

Kata Azhar Ahmad, 53, dia berniat untuk berjumpa ahli keluarga mangsa dan meminta maaf namun niatnya itu ditangguhkan atas nasihat pihak berkuasa.

Saya menangis dan sangat sedih melihat kemalangan itu. Saya mewakili isteri ingin memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki kepada semua ahli keluarga pelajar terbabit.

Tambah Azhar, isterinya berusia 49 tahun itu adalah seorang yang baik dan penyayang namun mengalami masalah kesihatan dan gangguan mental.

Cerita Azhar lagi, meskipun sudah puas cuba mendapatkan rawatan termasuklah berubat secara tradisional, keadaan isterinya masih tidak pulih.

Ketika mengandung anak keempat, 10 tahun lalu, doktor mengesahkan isteri mengandung di luar rahim dan terpaksa menggugurkan kandungan itu.

Ketika mendapat rawatan di hospital di Kuala Terengganu, dia koma selama empat hari dan kehilangan banyak darah. Selepas sedar dari koma, isteri mula alami gangguan dan sering berhalusinasi dan bercakap sendirian.

mangsa nahas uitm dungun

Ketika hari kejadian, Azhar berkata dia terkejut apabila mendapati isterinya yang sebelum itu menonton TV di ruang tamu sudah tiada dan pintu pagar rumah terbuka, dua pasang kasut isteri dan sehelai pakaiannya juga tidak ada.

Azhar kemudian dihubungi oleh seorang rakan yang memaklumkan SUV miliknya terlibat dalam kemalangan lalu dia terus bergegas ke tempat kejadian bersama anak bongsu.

Dia penyayang dengan anak cucu, sering membeli dan memasak makanan untuk mereka. Dia tidak pernah keluar waktu malam. Kalau keluar, mesti ditemani saya dan anak-anak. Dia memandu pada waktu siang dan minum di kedai tidak jauh dari kampus.

Terkejut saya melihat mayat pelajar di atas jalan raya. Saya ingat seorang mangsa, rupanya tiga orang. Saya cuba cari ahli keluarga mangsa di tempat kejadian ketika itu tetapi semua orang luar Dungun.

Tiada siapa mahu kejadian sebegini, saya dah sorok kunci kereta namun perkara tetap terjadi.

Dalam pada itu, Azhar turut berharap agar pihak pengurusan UiTM dapat membantunya untuk bertemu dengan keluarga mangsa untuk memohon maaf.