“Allah dengar doa kami” – Bekas murid dipukul dengan penyapu menang saman, guru diperintah bayar RM90,000

“Allah dengar doa kami” – Bekas murid dipukul dengan penyapu menang saman, guru diperintah bayar RM90,000

 

Seorang remaja menang saman selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan bekas gurunya supaya membayar ganti rugi berjumlah RM90,000.

Memetik laporan Kosmo, bapa kepada remaja berkenaan, Mohd. Amirul Azdi Md. Yusuf, 41 meluahkan rasa syukur kerana penantian mereka selama ini berbaloi.

“Allah mendengar doa kami dan penantian selama lima tahun ini berbaloi,” katanya.

Mohd. Amirul Azdi meluahkan rasa syukur dengan kemenangan berpihak pada keluarganya sejak 2019 berhubung kes anak lelakinya dipukul seorang bekas guru sebuah sekolah kebangsaan dengan penyapu.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan guru sekolah berkenaan memukul remaja tersebut yang ketika itu berusia lapan tahun sehingga menerima lima jahitan di kepala pada tahun 2019.

Menurutnya, dia sekeluarga menempuh pelbagai dugaan sejak insiden menimpa anaknya yang kini berusia 13 tahun.

“Selepas kejadian itu, anak saya yang ketika itu hanya berusia lapan tahun mengalami trauma dan dipinggirkan rakan-rakan sekolahnya selama dua tahun.

“Kami cuma mahu menuntut keadilan dan ia akhirnya berbalas dengan keputusan mahkamah sebentar tadi,” katanya sebak dan memaklumkan anaknya kini sedang bersekolah di Johor.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hazizah Kassim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan saman yang dikemukakan remaja itu terhadap tiga pihak termasuk guru besar sekolah sama dan kerajaan Malaysia.

Remaja itu selaku plaintif diwakili bapanya, Mohd. Amirul Azdi Md. Yusuf, 41, memfailkan saman terhadap bekas guru wanita berusia 60 tahun yang dinamakan sebagai defendan pertama.

“Mahkamah berpendapat bahawa tindakan defendan menggunakan penyapu untuk menakutkan murid supaya mengikuti arahan dianggap tidak dialu-alukan pada era ini.

“Insiden kes ini amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku di institusi sekolah. Ia diharap menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi.

“Pihak sekolah sepatutnya menggunakan kaedah untuk menanganinya. Insiden itu lebih kepada pertikaian antara orang dewasa dan kanak-kanak.

“Rekod disiplin itu tidak relevan mengenai tingkah laku plaintif ketika yang hanya murid tahun dua ketika kejadian,” katanya.

Mengikut penyataan tuntutan pada 17 Oktober 2022, plaintif menyatakan ketika mahu kembali ke tempat duduknya di dalam kelas, secara tiba-tiba guru berkenaan  memukul kepalanya dengan penyapu pada pukul 3 petang, 18 Oktober 2019.

Plaintif mendakwa dia mengalami kecederaan dan pendarahan yang banyak menyebabkan defendan menarik mangsa ke meja guru dan menekan kepalanya dengan tisu basah bagi menghentikan pendarahan.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Gombak sebelum ibu bapanya dihubungi bagi memaklumkan kejadian itu.

Bapa plaintif kemudianya membuat laporan polis pada pukul 6.45 petang hari sama dan memohon penjelasan guru itu yang kemudian mengatakan mangsa dipukul kerana tidak berada di tempat duduknya ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

Menurutnya, alasan yang diberikan adalah bersifat tidak munasabah, bercanggah dengan undang-undang dan tidak berperikemanusiaan.