Ada pihak kurang senang negeri Johor tukar cuti hujung minggu, TMJ akhirnya bersuara
Pada Isnin lalu, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 nanti.
Perkara ini juga menurut baginda telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).
Baginda juga bertitah agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan akan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan Solat Jumaat.
Walau bagaimanapun, dalam satu kenyataan semalam, Tunku Mahkota Ismail telah menempelak pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Johor yang menukar cuti daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad.
Titah baginda, jika ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan perkara tersebut demi agenda peribadi dan hanya hendak melagakan rakyat atau untuk kepentingan politik, mereka ‘dipersilakan pindah’ ke negeri-negeri yang bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu.
“Dengan izin dan restu KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat, maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.
“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,” titah baginda dalam postingnya di Facebook.