Pelanggan gaji RM3k nak beli Mercedes lebih RM300k buat penjual kereta pening kepala
Setiap orang pasti memiliki kereta idaman masing-masing betul tak?
Tak salah nak berangan supaya suatu hari nanti dapat memiliki kereta idaman kita. Tetapi, bak kata pepatah, perlulah ukur baju di badan sendiri.
Jika kita rasa mampu memilikinya, teruskan, namun jika tidak berpada-padalah dengan kemampuan yang ada.
Baru-baru ini tular selepas seorang penjual kereta berkongsi ragam pelanggan yang mahu memiliki kereta di luar gajinya.
Menerusi perkongsian di Threads, lelaki yang dikenali sebagai Umar, berkongsi perbualan ringkas dengan seorang pemuda yang berniat mahu membeli sebuah Mercedes.
Dia kemudian meminta pemuda berkenaan untuk mengisi beberapa maklumat dan mendapati pemuda itu hanya mempunyai gaji pokok RM1,500 sebulan dan gaji bersih RM3,000.
Malah, Umar juga menjelaskan kepada pemuda berkenaan bahawa memandangkan dia hanya memperoleh RM3,000 sebulan, bayaran pendahuluan perlu melebihi RM200,000 dengan penjamin.
“Pening dengan budak-budak sekarang yang baru nak hidup. Selera besar, nak beli kereta bulanan lagi tinggi dari gaji dia. Inilah benda kau kena hadap dan control emosi bila jumpa orang macam ni,” tulisnya.
Susah juga kalau macam ni, mana tak peningnya.