Nahas UiTM Dungun: Suami didakwa terlepas pandang, tak sedar isteri lari keluar rumah & pandu kereta

Nahas UiTM Dungun: Suami didakwa terlepas pandang, tak sedar isteri lari keluar rumah & pandu kereta

 

Saat ini, rakyat Malaysia sedang berduka menangisi pemergian 3 pelajar UiTM Dungun, Terengganu yang terlibat dalam sebuah nahas jalan raya ketika dalam perjalanan pulang selepas makan malam dan beriadah Maghrib semalam.

Ibarat cubit paha kiri, paha kanan juga terasa. Pastinya pihak keluarga sendiri menjadi insan paling terkesan atas kejadian ini.

Dalam perkembangan terbaru, pemandu wanita kurang siuman yang ‘menghentam’ motosikal dinaiki 4 penuntut berkenaan sudah pun ditahan dan direman selama 4 hari bermula hari ini.

Wanita berusia 49 tahun tersebut merupakan seorang suri rumah yang turut mempunyai 3 cahaya mata.

Sewaktu sampai di mahkamah, dia nampak terpinga-pinga.

Dalam pada itu di aplikasi X, seorang individu bernama Izzul yang mendakwa kenal dengan wanita terbabit tampil mendedahkan awal mula sebelum insiden itu terjadi.

Katanya, suami wanita tersebut tidak menyedari tindakan isterinya yang telah keluar dari rumah dan kemudiannya memandu kereta berkenaan.

Suami Didakwa Terlepas Pandang, Tak Sedar Isteri Lari Keluar Rumah & Bawa Kereta

Walau bagaimanapun di media sosial, ramai pihak mula berkongsikan pelbagai rakaman memaparkan kelibat wanita berkenaan yang sudah beberapa kali membawa kenderaan seorang diri, bercakap, menyanyi dan berjoget sendiri selain didakwa menganggu orang lain.

Hingga saat ini, pihak keluarganya belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.