McDonald’s Malaysia 100 peratus entiti milik orang Islam

McDonald’s Malaysia 100 peratus entiti milik orang Islam
Di Arab Saudi masih ada pengunjung masuk ke restoran McDonald’s dan bertanya jika makanan dijual adalah halal.
Pemilik Reza Food Services Co Limited, Mohamed Alireza berkata, soalan itu juga selalu ditanya di media sosial sehingga mereka memaparkan jawapannya di bahagian “Your Right To Know” (Hak Anda Untuk Tahu) di laman web McDonald’s Arab Saudi.
Sijil halal turut dipaparkan di laman web dan restoran diuruskan Reza Food Services, anak syarikat Kumpulan Alireza yang bertanggungjawab menguruskan rangkaian McDonald’s di wilayah selatan dan barat Arab Saudi.
McDonald’s Malaysia menjadi entiti diusahakan oleh 100 peratus milik orang Islam menerusi Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd sebagai pemegang lesen McDonald’s di Malaysia sejak tahun 2016, selepas diambil alih Kumpulan Alireza.
Bagi bekalan makanan pula, Reza Food Services tidak was-was kerana bekalan Chicken McNuggets bagi restoran mereka diimport dari Malaysia dan diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kami memilih Malaysia kerana Malaysia diiktiraf mempunyai standard tinggi dalam pensijilan halal,” katanya ketika ditemui di Jeddah, Arab Saudi, baru-baru ini.
Walaupun mereka juga menggunakan pembekal tempatan beberapa tahun lalu, pembekal itu juga bekerjasama dengan pembekal di Malaysia untuk meningkatkan penyeragaman dan tadbir urus halal, katanya.
Katanya, pelanggan antarabangsa dari negara Islam lain perlu kepastian apa dimakan adalah halal.
“Kami masih mementingkan pengiktirafan halal yang dapat dilihat oleh pelanggan seperti pada pembungkusan makanan. Pengiktirafan sijil halal itu dapat meyakinkan lagi pelanggan kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Haji Azmir Jaafar berkata, ramai mungkin tidak tahu yang sebenarnya Malaysia ialah sumber makanan halal terbesar diluluskan untuk McDonald’s di dunia.
Katanya, McDonald’s Malaysia adalah antara restoran khidmat segera pertama yang diiktiraf halal oleh Jakim.
“Pengiktirafan Jakim itu satu tanggungjawab buat McDonald’s,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmir berkata, McDonald’s Malaysia antara syarikat restoran khidmat segera yang bekerjasama dengan Jakim untuk membangunkan prosedur pensijilan halal di Malaysia.
“McDonald’s adalah salah satu syarikat yang mempunyai standard amalan toyyiban (kebersihan dan keselamatan makanan) yang tinggi dan sentiasa berkongsi pengalaman dan best practices dengan pihak Jakim bagi penambaikan standard halal di Malaysia.”
“Jadi dengan keyakinan terhadap produk McDonald’s di negara ini dengan halal yang diiktiraf oleh Jakim, Alhamdulillah, perniagaan kita berkembang dengan baik.

BEKALAN Chicken McNuggets bagi McDonald’s Arab Saudi diimport dari Malaysia dan diiktiraf halal oleh Jakim.
“Tiada lagi was-was rakyat Malaysia beragama Islam untuk datang ke McDonald’s,” katanya.
Azmir berkata, pembekal ayam McDonald’s Malaysia, iaitu Tyson Foods turut mengeksport produk mereka ke Timur Tengah.
“Piawaian Jakim di Malaysia ini amat dihormati dan dipercayai oleh negara-negara Timur Tengah,” katanya.
Tyson Foods mengambil alih MacFood Services (M) Sdn Bhd iaitu pembekal utama produk daging untuk McDonald’s Malaysia pada 2018.
“Tyson ialah satu pengeluar makanan terbesar dunia. Mereka membina kilang yang moden di Malaysia untuk memastikan produk yang kita jual di restoran menepati piawaian yang dikehendaki oleh syarikat McDonald’s sedunia dan juga memenuhi mutu dan kehendak piawaian Jakim untuk rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah dengan kapasiti eksport daripada Tyson ke seluruh dunia, kita boleh proses makanan yang banyak dan bila kita membuat sesuatu makanan tu secara banyak, kita boleh kurangkan kos.
“Jadi faedah untuk rakyat Malaysia apabila kita menjual makanan di Malaysia melalui Tyson dan kita kongsi kos tersebut melalui export, kita dapat mengurangkan harga kita di McDonald’s Malaysia.
“Kita dapati harga yang nilai terbaik tapi dengan mutu yang terbaik dengan harga yang rendah yang berpatutan,” katanya.