Lelaki ini miliki 10 lesen memandu pelbagai kenderaan, impi pandu Caterpillar 797 ‘haul truck’

Lelaki ini miliki 10 lesen memandu pelbagai kenderaan, impi pandu Caterpillar 797 ‘haul truck’
Lesen memandu adalah dokumen yang membenarkan seseorang itu membawa kenderaan seperti kereta, motosikal, lori atau bas.
Bagaimanapun secara umum, kebanyakan orang mengambil lesen memandu kereta dan motosikal saja, manakala untuk kenderaan jenis lain seperti lori, bas serta van pula hanya diambil mengikut keperluan.
Begitupun, berbeza dengan seorang pakar perubatan kecemasan di sebuah hospital kerajaan, Dr Leong Keen Wai yang memiliki hingga 10 lesen memandu dalam pelbagai kelas yang ditawarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dr Leong yang kongsikan perkara itu dalam hantaran melalui Facebook berkata, ‘perjalanan’ mengambil semua lesen itu bermula selepas beliau berhasrat membawa ambulans untuk mengendalikan kes kecemasan.
Katanya, beliau kemudian memandu lori hospital pula yang digunakan untuk membawa peralatan bagi misi bantuan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
“Namun selepas itu, semuanya menjadi ‘tidak terkawal’ dengan saya bertindak mengumpul semua jenis lesen memandu yang saya boleh ambil.
“Lesen memandu berkenaan ialah Kelas B bagi motosikal melebihi 500cc; Kelas C (motosikal tiga roda); Kelas D (motosikal berat tanpa muatan); Kelas E (motokar berat tanpa muatan); Kelas H (traktor atau jentera bergerak beroda); Kelas I (traktor atau jentera bergerak berantai); Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) Kelas D (van atau bas mini); PSV Kelas E (bas); Lesen Kenderaan Barangan (GDL) Kelas E (van jenazah); dan GDL Kelas E (treler),” katanya.
Bagaimanapun, Dr Leong memaklumkan tidak mempunyai keseluruhan senarai lesen memandu kerana ada yang beliau tidak layak mengambilnya, termasuk Kelas A iaitu kenderaan orang kurang upaya (OKU) motosikal.
Selain itu, katanya, beliau tidak boleh mengambil lesen memandu Kelas F dan G kerana ia adalah subkelas bagi Kelas H serta I yang sudah diambilnya sebelum ini.
“Saya juga tidak boleh mengambil lesen konduktor bas kerana ia sudah lapuk, manakala lesen PSV B2 untuk penunggang e-hailing pula saya tidak pasti sama ada ia masih ditawarkan lagi ataupun tidak,” katanya.
Dr Leong berkata, beliau menyimpan impian untuk memandu Caterpillar 797 ‘haul truck’, memulakan respons pantas Skuad Superbike Kecemasan untuk hospitalnya, dan belajar memandu kereta kebal tentera.
Namun, beliau berkata, perancangannya selepas ini ialah mengambil lesen kren menara; kren berantai (crawler crane) dan skylift; b-double trucks (kereta api); dan helikopter.
“Bagaimanapun, saya tidak berminat dengan pesawat. Bagi saya kanak-kanak lelaki tidak pernah membesar tetapi hanya permainan mereka yang semakin besar,” katanya.