Isteri senarai 10 alasan fail cerai terhadap Edika Yusof

Isteri senarai 10 alasan fail cerai terhadap Edika Yusof
Isteri kepada Edika Yusof iaitu Nor Hidayah Yusri menyenaraikan 10 alasan dia mahu bercerai dengan aktor tersebut ketika sebutan kes tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu.
Peguam mewakili Hidayah iaitu Mohd Yazid Hazim menjelaskan semua alasan dikemukakan disifatkan sebagai kritikal yang berlaku dalam rumah tangga mereka.
Bagaimanapun Yazid tidak dapat mendedahkan semua alasan tersebut kerana ia boleh mengaibkan Hidayah.
Kesemua alasan itu diserahkan kepada Hakim Syarie Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh yang mendengar kes tersebut.
“Sebab yang kami berikan adalah paling kritikal dalam rumah tangga mereka. Ia sudah lama berlaku dan patut diselesaikan sejak dulu lagi.
“Ada 10 dakwaan terhadap Edika termasuk yang mencemarkan maruahnya sebagai isteri,” katanya kepada mStar.
Yazid menjelaskan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding permohonan cerai pasangan berkenaan selesai.
Dalam pada itu, Yazid menegaskan Hidayah sudah lama bertahan dengan semua kemelut rumah tangga mereka demi menjaga maruah keluarga.
“Hidayah bermurah hati mahu menjaga maruah keluarga selama ini. Baru sekarang dia ada kerelaan hati memfailkan cerai.
“Kalau saya bentangkan di sini, ia akan mencemarkan maruah Hidayah sebagai isteri,” katanya.
Berikutan itu, Yazid berkata tindakan Hidayah memfailkan cerai adalah tindakan wajar apatah anak-anak pasangan itu turut menjadi saksi.
“Dakwaan ini semua disaksikan oleh anaknya dan menyokong dakwaan Hidayah.
“Jadi ketidaksefahaman adalah hanya ‘surface’ sahaja, ada sembilan dakwaan yang kritikal lagi,” katanya.
Pada Rabu, berlangsungnya sebutan kedua bagi kes permohonan cerai Hidayah yang dibuat pada pertengahan Februari lalu.
Makhamah kemudiannya menetapkan 5 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 2003 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20 tahun.
Hidayah juga memiliki seorang lagi cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nazirul Afiq, 27 tahun.
Untuk rekod, Hidayah mengalami lumpuh separuh badan akibat demam panas sejak 19 tahun lalu.