Simpanan KWSP cecah hampir RM2 juta pada usia 35 tahun, wanita ini kongsi rahsianya
Seorang pengguna Reddit dengan nama Superficial1234 baru-baru ini tular selepas berkongsi kejayaannya simpanan hampir RM2 juta dalam akaun KWSP pada usia 35 tahun.
Perkongsian ini mendapat perhatian ramai kerana jumlah simpanan yang tinggi, apatah lagi apabila dicapai pada usia yang sangat muda bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Berdasarkan hantaran yang disertakan dengan tangkap layar baki simpanan KWSP, pengguna ini memiliki sejumlah RM1,918,580.36, yang terdiri daripada tiga akaun berasingan — Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel.
Dalam perbincangan lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa pendapatannya mencecah sekitar RM50,000 sebulan, tidak termasuk bonus tahunan antara RM200,000 hingga RM300,000.
Antara strategi yang dikongsikan olehnya adalah:
1. Tidak Bertukar Tempat Kerja
Pengguna ini tidak melakukan “job hopping” atau melompat kerja dan kekal di syarikat yang sama sejak tamat pengajian.
Melalui dedikasinya, beliau menikmati kenaikan pangkat dan kenaikan gaji berterusan.
2. Sumbangan Sendiri ke KWSP
Setelah menyedari kelebihan menyumbang secara peribadi ke dalam akaun KWSP, beliau mula memaksimumkan jumlah sumbangan sendiri hingga RM100,000 setiap tahun.
Ini adalah cara beliau meningkatkan simpanan persaraan dengan pantas.
3. Tidak Mengeluarkan Wang KWSP
Walaupun layak untuk membuat pengeluaran melebihi RM1 juta, beliau memilih untuk tidak menyentuh simpanan KWSP.
Tindakan ini membantu simpanannya terus berkembang melalui faedah dividen.
4. Faedah
Dengan tidak mengeluarkan wang, simpanannya bertambah dengan lebih pantas.
Dalam tempoh 10 tahun, beliau mencapai RM1 juta pertama, namun hanya memerlukan tambahan tiga tahun untuk menggandakan simpanan kepada RM2 juta.
Menariknya, beliau turut berkongsi bagaimana ramai orang secara automatik menganggapnya seorang lelaki hanya kerana jumlah pendapatan dan simpanan yang besar.
Beliau menyatakan bahawa wanita juga boleh mencapai pendapatan tinggi dan mengumpul kekayaan yang besar, sekaligus memecahkan stereotaip yang sering dikaitkan dengan jantina.
Kisah beliau menjadi inspirasi buat golongan muda yang bercita-cita untuk mencapai peringkat bebas kewangan pada usia muda.
Strategi seperti tidak bertukar kerja kerap, menyumbang sendiri ke KWSP, dan tidak mengeluarkan simpanan awal boleh menjadi langkah awal kepada mereka yang ingin menyusun kewangan dengan lebih baik.