Tutup 3 kilang, puluhan ribu pekerja Volkswagen bakal dibuang kerja
Volkswagen AG, pengeluar automotif terbesar di Eropah, kini berhadapan dengan keputusan sukar untuk tutup sekurang-kurangnya tiga kilang di Jerman, lapor EuroNews.
Keputusan ini membawa kesan besar, dengan puluhan ribu pekerja dijangka terjejas akibat pemberhentian kerja serta langkah pengurangan kapasiti kilang-kilang lain di seluruh negara.
Menurut Ketua Dewan Perwakilan Pekerja VW, Daniela Cavallo, dalam kenyataan yang dibuat pada Isnin (28 Oktober 2024), tindakan radikal ini diambil untuk menghadapi cabaran besar yang menghimpit syarikat, termasuk kos tenaga dan buruh yang semakin tinggi, persaingan sengit daripada pengeluar Asia, serta penurunan permintaan di pasaran utama seperti Eropah dan China.
Cavallo juga memberi bayangan bahawa ini mungkin merupakan titik mula kepada penjualan aset besar-besaran Volkswagen di Jerman.
Namun begitu, beliau tidak memberikan butiran khusus mengenai kilang mana yang bakal ditutup atau bilangan sebenar pekerja yang akan terjejas daripada kira-kira 300,000 orang tenaga kerja VW di negara itu.
Sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan, Volkswagen turut merancang untuk memotong gaji pekerja di bawah jenama VW sekurang-kurangnya 10% dan menangguhkan sebarang kenaikan gaji sehingga tahun 2025 dan 2026.
Langkah ini mencetuskan bantahan daripada ribuan pekerja, yang berkumpul di Wolfsburg sebagai tanda protes.
Mereka menuntut agar kilang-kilang VW terus beroperasi tanpa sebarang penutupan.
Volkswagen dijangka akan membentangkan cadangan rasmi mengenai pemotongan kos buruh pada Rabu.
Gunnar Kilian, salah seorang anggota dewan pengurusan Volkswagen, menyatakan bahawa situasi syarikat kini berada pada tahap genting.
“Tanpa langkah-langkah komprehensif untuk meningkatkan daya saing, kami tidak mampu mendanai pelaburan penting untuk masa depan,” katanya.
Ketua Jabatan Volkswagen, Thomas Schaefer, juga menyuarakan kebimbangannya terhadap tahap produktiviti kilang-kilang VW di Jerman, yang kos pengeluarannya masih jauh lebih tinggi daripada sasaran, bahkan mencapai 50% lebih tinggi berbanding pesaing antarabangsa.
Langkah drastik ini turut memberi tekanan kepada kerajaan Jerman yang sedang mencari jalan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah ancaman kemerosotan.
Industri automotif, terutamanya Volkswagen, memainkan peranan penting dalam ekonomi Jerman.
Justeru, sebarang tindakan yang melibatkan penutupan kilang dan pemberhentian pekerja akan memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara tersebut.