“Saya pergi supermarket, orang letak resume dalam troli” – Khairul Aming
Usahawan dan pempengaruh masakan terkenal, Khairul Aming ada berkongsi mengenai gelagat orang ramai yang ingin menjadi pekerja di bawah syarikatnya.
Kongsi Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman,32, dia ada menerima pelbagai cara luar biasa dan unik ketika menghantar resume.
Bukan saya tak buka (tawaran kerja) tapi resume berbukit. Itu pun saya tak pernah umumkan cara nak hantar resume.
Macam-macam cara sampai, ada yang letak bawah pintu, saya pergi supermarket orang letak resume dalam troli saya. Kami terima lebih daripada yang kami boleh tawarkan Alhamdulillah.
Dia yang ditemui di majlis Shopee Superstar Awards di The Agam semalam turut memaklumkan bahawa syarikatnya tidak mencari pekerja baru buat masa kini kerana telah cukup staf.
Buat masa sekarang, kita memang tiada keperluan lagi untuk ambil staff baharu sebab kilang dah penuh dan tiada staf yang berhenti. Ada pun seorang itu pun sebab dia nak sambung belajar.
Kata Khairul Aming lagi, dia bakal melancarkan produk terbaharu dan kini sedang dalam proses pembuatan.
Difahamkan, produk tersebut akan menemui orang ramai pada tahun hadapan.
Sekarang saya dah mula R&D tapi semestinya produk itu akan jadi makanan sedia untuk di makan cuma saya dah pernah buat produk sambal, daging so untuk produk kali ini akan lain daripada yang lain.
Saya tak boleh dedahkan lagi tapi kita akan keluarkan selepas raya nanti.
Terdahulu, gara-gara layanan baik serta ganjaran yang ditunjukkan Khairul Aming terhadap para pekerjanya, ramai netizen meluahkan hasrat untuk bekerja dengan pempengaruh yang terkenal dengan resipi 30 hari Ramadan dan juga produk Sambal Nyet itu.