Kadar zakat fitrah di Perak ditetapkan RM10, RM16 dan RM27

Kadar zakat fitrah di Perak ditetapkan RM10, RM16 dan RM27
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, melalui perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM10, RM16 dan RM27 seorang tahun ini.
Ia sekali gus menunjukkan terdapat kenaikan berbanding tahun lalu iaitu RM8, RM16, dan RM24..
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, penetapan itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-236, melalui perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Kategori kedua pada kadar RM16 ditetapkan bagi beras wangi, beras perang, dan dan beras rebusan; manakala beras basmathi dan beras pulut ditetapkan pada kadar RM27.
“Titah perkenan Sultan Perak sudah dibentangkan dan diterima oleh persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada pagi ini. “Maka, dengan ini diumumkan kadar zakat fitrah yang wajib dibayar oleh orang Islam bagi tahun ini di Perak dibahagi kepada tiga kategori, iaitu RM10, RM16 dan RM27,” katanya.
Zamri mengumumkan kadar zakat itu ketika Majlis Pengumuman Kadar Zakat Fitrah 1446H/2025M dan Peluncuran Awal Aplikasi MAIPk Bestari di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh.
Sementara itu, Syamsul Hazeman menerusi kenyataan, berkata aplikasi MAIPk Bestari adalah inovasi digital sistem kutipan zakat fitrah yang dianggap satu revolusi urusan zakat secara mudah, cepat, dan selamat melalui sistem QR digital, sama ada menerusi amil yang dilantik atau bayaran terus kepada MAIPk.
Menurutnya, bukan sekadar zakat fitrah malah sistem itu juga membolehkan pembayar menyertai program wakaf yang menarik dengan lebih mudah hanya dengan nilai serendah RM1 melalui pelbagai projek wakaf di MAIPk.
Katanya, seramai 1,938 amil di seluruh Perak akan menggunakan aplikasi itu dalam kutipan zakat fitrah, dengan semua bayaran akan terus dikreditkan ke akaun rasmi MAIPk manakala resit zakat dihantar terus ke e-mel pembayar.
“Ia bagi memastikan urusan zakat lebih mudah, moden, dan sistematik. Dengan langkah digital ini, kutipan zakat menjadi lebih efisien, telus, dan selamat.
“MAIPk terus proaktif, seiring dengan negeri-negeri lain dalam memperkenalkan sistem pembayaran zakat tanpa tunai, menjadikan pengalaman berzakat lebih lancar dan meyakinkan.
“Hanya dengan imbasan QR, pembayar akan dibawa terus ke platform aplikasi yang menyediakan tiga pilihan pembayaran iaitu secara SenangPay, QR Bank, dan Tunai Aplikasi,” katanya.