Warga emas maut jatuh longkang

Warga emas maut jatuh longkang

Seorang warga emas maut selepas dipercayai terjatuh dalam longkang di kawasan perumahan Rumah Murah Kuala Sepetang, dekat sini, hari ini.

Mayat Yeoh Liong Hee, 71, telah dijumpai oleh orang awam kira-kira jam jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mayat itu dijumpai dalam longkang di kawasan berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Poey Eng Kuala Sepetang.

Menurutnya, pihak polis dengan bantuan anggota bomba dan Kementerian Kesihatan (KKM) menarik mayat dari longkang sebelum melakukan pemeriksaan awal serta sanitasi COVID-19.

“Pemeriksaan pada tubuh si mati mendapati tiada unsur-unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, anak si mati yang membuat pengecaman mengakui warga emas itu bapanya yang dilaporkan terjatuh dalam longkang di kawasan Rumah Murah Kuala Sepetang.

Menurut Osman, mayat telah dibawa ke Hospital Taiping untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui sebab-sebab kematian.

“Bedah siasat akan dilakukan selepas memperolehi keputusan ujian saringan COVID-19,” ujarnya.