Wanita pura-pura tengok menu sambil tangan seluk beg mangsa
Taktik seorang penyeluk saku berpura-pura melihat menu makanan sebelum mengambil dompet mangsa terbongkar apabila perbuatannya itu dirakam pada video kamera litar tertutup (CCTV) dalam satu kejadian di sebuah restoran di sini.
Dalam kejadian 20 Julai lalu, mangsa wanita yang juga pesara berusia 59 tahun membuat laporan polis selepas menyedari dompetnya hilang ketika berada di restoran tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitenden Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan dompet mangsa pada hari yang sama kira-kira jam 8.25 malam.
Menurutnya, mangsa memaklumkan mengalami kerugian kira-kira RM2,500 termasuk wang tunai RM1,800 dan beberapa dokumen serta kad bank.
“Hasil siasatan mendapati, ketika kejadian mangsa hendak membayar di kaunter dan dompet duitnya telah hilang di dalam beg sandang.
“Mangsa berusaha mencari dompetnya di sekeliling kawasan namun tidak menemuinya dan mengesyaki telah diambil orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya lagi, siasatan awal di lokasi kejadian terdapat CCTV di dalam kedai dan satu lagi di luar kedai.
“Hasil semakan mendapati rakaman pada hari tersebut jam 12.37 tengah hari menunjukkan imej seorang suspek wanita tidak dikenali telah berpura-pura melihat katalog menu sambil merapati mangsa di kaunter.
“Suspek menyeluk beg sandang mangsa lalu mengambil dompet tersebut dan memasukkan ke dalam beg sandangnya sendiri serta keluar ke arah pintu hadapan.
“Melalui rakaman CCTV di luar menunjukkan suspek berjalan menuju ke arah seberang jalan di mana terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Iswara warna putih yang tidak kelihatan nombor pendaftarannya sedang menunggu suspek sebelum beredar ke arah jalan raya utama,” katanya.
Bagaimanapun, Zairolnizal berkata, mangsa tidak mengecam wajah suspek kerana ketika kejadian terdapat ramai pelanggan.
“Mangsa juga tidak menyedari kejadian itu berlaku.
“Pihak polis sedang mengesan suspek wanita dipercayai berusia 40-an dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sebelum itu, tular satu video berdurasi 52 saat memaparkan dua wanita sedang melihat buku menu di sebuah restoran di daerah ini.
Dalam video itu, kelihatan tangan salah seorang wanita tersebut menyeluk beg wanita di sebelahnya lalu mengambil sesuatu dipercayai dompet sebelum dilihat beredar dari restoran berkenaan.