[Video] Tak puas hati putus tunang, lelaki langgar kereta wanita sampai jahanam

[Video] Tak puas hati putus tunang, lelaki langgar kereta wanita sampai jahanam

 

Seorang lelaki ditahan selepas merempuh kereta bekas tunangnya di Bandar Indah, Batu Empat, Sandakan semalam kerana tidak berpuas hati tali pertunangan diputuskan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Abdul Fuad Abdul Malek berkata, rakaman video selama 30 saat yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta Viva dengan sengaja melanggar sebuah Myvi yang diparkir di tempat letak kenderaan.

Susulan itu, katanya, wanita berusia 20-an yang juga pemilik Myvi itu membuat laporan di Balai Polis Sandakan pada hari sama.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 2 petang, apabila suspek berusia 20-an yang memandu Perodua Viva bertindak merempuh kereta mangsa.

“Mangsa adalah bekas tunang suspek dan ketika kejadian, mangsa tidak berada di dalam kenderaannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis kemudian menahan suspek pada 11.15 malam semalam untuk membantu siasatan.

Katanya, motif suspek dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan mangsa akibat tali pertunangan mereka diputuskan.

“Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.”