Pernah tular jawab peperiksaan atas pokok, kini Veveonah Mosibin pelajar perubatan
Pernah tular jawab peperiksaan atas pokok, kini Veveonah Mosibin pelajar perubatan
Pernah tular panjat pokok demi jawab peperiksaan kerana tiada capaian internet, Veveonah Mosibin kembali menjadi perhatian ramai.
Ia susulan Veveonah yang juga graduan Ijazah Sains Marin dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.46 tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.
Memetik laporan NST, gadis berusia 23 tahun dari Kampung Sapatalang, Pitas ini sudah memulakan pengajian perubatannya di Management and Science University (MSU), Shah Alam, sejak 1 Oktober lalu.
Menurut Veveonah, pihak penaja sudah menanggung penerbangan balik Sabah untuk Krismas, tapi kos untuk membeli tiket penerbangan tambahan untuk konvokesyen memang mahal, terutamanya pada bulan Disember.
Sebelum ini, video “24 Hours on Tree” kerana perlu memanjat pokok untuk mendapatkan sambungan internet bagi peperiksaan dalam talian,
Namun, sejak 2021, impiannya berubah di mana keadaan mental yang tidak stabil dan kemurungan menyebabkan kesukaran buat keputusan yang kurang tepat dengan kebolehan dan minat sebenar.
Pada awalnya, Veveonah berminat dengan sains marin, namun lama-kelamaan minatnya hilang, terutama semasa pandemik Covid-19.
“Bidang ini perlukan lebih banyak pembelajaran secara praktikal, tapi kami belajar semuanya secara dalam talian,” jelasnya.
Sedang dia bergelut dengan perasaan itu, Veveonah sedar hatinya lebih tertarik pada bidang perubatan. Walaupun begitu, dia tetap memilih untuk menamatkan ijazah pertamanya demi memenuhi kontrak biasiswa.
Kini, Veveonah sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di MSU sebagai pelajar tahun pertama kursus perubatan lima tahun sambil dalam proses memohon biasiswa untuk pengajiannya.
“Di sini, saya ada kawan-kawan daripada pelbagai latar belakang. Mereka sangat baik dan banyak membantu saya menyesuaikan diri. Dikelilingi oleh orang yang bijak dan rajin buat saya lebih bersemangat,” katanya.
Ujarnya lagi, walaupun terlepas saat menerima skrol di pentas, Veveonah kini berada di landasan untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang doktor.