“Ia benar-benar sedap” – Usahawan kripto makan pisang RM27.5 juta
“Ia benar-benar sedap” – Usahawan kripto makan pisang RM27.5 juta
Usahawan kripto, Justin Sun menunaikan janji dibuatnya selepas membelanjakan AS$6.2 juta (RM27.5 juta) untuk karya seni menampilkan pisang yang dilekatkan pada dinding menggunakan pita pelekat, dengan memakan buah itu.
Di salah sebuah hotel paling mahal di Hong Kong, Sun memakan pisang di hadapan puluhan wartawan dan pempengaruh selepas memberikan ucapan yang memuji karya seni itu sebagai ‘ikonik’ dan membuat perbandingan antara seni konseptual dan mata wang kripto.
“Ia jauh lebih baik daripada pisang lain,” kata Sun selepas gigitan pertamanya. “Ia benar-benar sedap.”
Bertajuk ‘Comedian’, karya seni konseptual yang dihasilkan oleh artis Itali, Maurizio Cattelan itu dijual dalam lelongan Sotheby’s di New York, Amerika Syarikat (AS), minggu lalu. Sun antara tujuh pembida.
Sun berkata, dia berasa ‘tidak percaya’ dalam 10 saat pertama selepas memenangi bidaan sebelum menyedari ‘ini boleh menjadi sesuatu yang besar’. Dalam 10 saat berikutnya, dia memutuskan untuk memakan pisang itu.
“Memakannya pada sidang akhbar juga boleh menjadi sebahagian daripada sejarah karya seni itu,” katanya.
Penampilan pertama karya seni yang boleh dimakan itu pada acara Art Basel 2019 di Pantai Miami mencetuskan kontroversi dan menimbulkan persoalan sama ada ia layak dianggap seni.
Di sebuah bilik acara di Hotel Peninsula di Hong Kong, dua lelaki yang berpakaian seperti kakitangan rumah lelong berdiri di hadapan dinding tanpa ciri khas dengan pisang kuning itu menjadi satu-satunya elemen berwarna.
Sun berkata, dia baru-baru ini memutuskan untuk membida karya seni itu sambil menambah bahawa dia mempunyai ‘soalan bodoh’ seperti sama ada pisang itu sudah busuk dan bagaimana menentukan nilai karya berkenaan.
Pemilik karya seni itu diberikan sijil keaslian bahawa karya itu dicipta oleh Cattelan serta arahan mengenai cara menggantikan buah terbabit apabila ia rosak.
Hadirin yang hadir pada acara Jumaat itu masing-masing menerima segulung pita pelekat dan sebiji pisang sebagai cenderamata.
“Semua orang ada pisang untuk dimakan,” katanya.
Usahawan kripto itu pada tahun lalu didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS kerana menawarkan dan menjual sekuriti tidak berdaftar berkaitan dengan projek kriptonya, Tron.
Kes itu masih berjalan.