Tular video ambulans rempuh Wira, polis jalankan siasatan

Tular video ambulans rempuh Wira, polis jalankan siasatan

 

Rakaman klip video kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan berdurasi 56 saat yang memaparkan kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan ambulans, sebagaimana tular di Facebook sejak semalam, dilaporkan berlaku 30 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput Deputi Superintendan Juna Yusoff berkata, kemalangan di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di persimpangan lampu isyarat Kampung Baru Rimba Panjang, di sini, itu berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu Law Poh Huat, 62, dirempuh ambulans yang membawa pesakit Covid-19 .

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ambulans dengan kapasiti dua petugas kesihatan berkenaan membawa dua pesakit Covid-19 dari Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Ipoh ke Hospital Sungai Siput.

“Apabila tiba di persimpangan itu, ambulans tidak berhenti dan masih meneruskan perjalanan sebelum merempuh kereta dipandu mangsa (Poh Huat) yang membelok ke kanan menghala (Kampung Baru) Rimba Panjang dari arah Sungai Siput.

“Kesemua yang berada dalam ambulans berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa disahkan meninggal dunia pada 2 Oktober lalu ketika dirawat di Hospital Sungai Siput,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Klip video rakaman yang tular mengenai kemalangan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Menerusi rakaman itu juga, ambulans terbabit didapati tidak memasang siren kecemasan.