“Tugas saya hanya sampai sini, semoga ada keadilan buat arwah” – Mahmud Jumaat tidak lagi mewakili ibu Zayn Rayyan

“Tugas saya hanya sampai sini, semoga ada keadilan buat arwah” – Mahmud Jumaat tidak lagi mewakili ibu Zayn Rayyan

 

Seperti yang sedia maklum, hari ini bakal berlangsung prosiding sebutan kes bagi pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Seawal jam 8.45 pagi lagi, ibu bapa kepada Zayn iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi prosiding sebutan berkenaan.

Walau bagaimanapun, difahamkan peguam dari Tetuan Emir Mahmud & Co, Mahmud Jumaat mengesahkan beliau tidak lagi mewakili ibu Zayn Rayyan, sebelum sebutan semula kes tersebut pada hari ini.

“Ya, saya tidak lagi mewakili ibu Zayn Rayyan (Ismanira Abdul Manaf). Tugas saya hanya sampai di sini. Semoga ada keadilan buat arwah. #Justice4ZaynRayyan,” katanya.

Terdahulu, Mahmud juga pernah menarik perhatian ramai apabila menarik diri dari mewakili ibu bapa Zayn Rayyan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Namun selang tiga hari kemudian, keluarga Ismanira telah tampil menjelaskan bahawa mereka memang sepakat ingin melantik Mahmud mewakili adik mereka sejak dari awal lagi.

Bila ditanya sama ada Ismanira akan diwakili peguam Fahmi Abd Moin yang kini mewakili Zaim Ikhwan, Mahmud berkata, dia tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

“Itu terserah kepada mereka. Tugas saya hanya sampai di sini.

“Saya rasa, saya bukanlah peguam yang sesuai untuk kes ini. Saya doakan keadilan akan bersama kita semua,” kata Mahmud.

Untuk rekod, ibu bapa Zayn telah didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Zaim dan Ismanira yang masing-masing berusia 29 tahun itu walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Terdahulu, pada 6 Disember 2023, mayat anak kandung pasangan tersebut telah ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumah mereka di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.