Tiga lelaki maut selepas kereta terhumban dari jambatan gara-gara percayakan Google Maps

Tiga lelaki maut selepas kereta terhumban dari jambatan gara-gara percayakan Google Maps

 

Tiga lelaki maut selepas kereta terhumban dari jambatan gara-gara percayakan Google Maps

Tiga lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam dari jambatan yang tidak lengkap dan terjatuh ke dasar sungai ketika menggunakan Google Maps untuk navigasi di Uttar Pradesh, India, pada awal pagi 24 November lalu.

The Straits Times yang memetik laporan beberapa media tempatan India melaporkan, mangsa dalam perjalanan dari Noida ke Bareilly untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan apabila kenderaan mereka jatuh dari jambatan ke Sungai Ramganga.

Beberapa laporan lain pula menyatakan mereka dalam perjalanan pulang selepas perayaan itu.

Mereka dipercayai mengikuti panduan dalam aplikasi navigasi yang membawa kenderaan mereka ke jambatan yang tidak diterangi dengan lampu dan belum lengkap.

Kereta mereka kemudian terjunam lebih 15 meter sebelum terhempas ke bawah jambatan, lapor The Times of India.

Kereta yang remuk dan tiga lelaki yang terperangkap di dalamnya ditemukan pada pagi 24 November lalu oleh penduduk dari kampung Allapur. Penduduk kemudian segera memaklumkan kejadian kepada polis.

“Kira-kira 9.30 pagi, kami dimaklumkan mengenai sebuah kereta rosak yang dijumpai di Sungai Ramganga,” kata jurucakap polis kepada Hindustan Times.
“Pasukan kami menemukan sebuah Wagon R, dipercayai sebagai teksi yang jatuh dari jambatan yang tidak lengkap . Mayat-mayat mangsa sudah ditemukan dan dihantar untuk bedah siasat,” katanya.

Ketiga-tiga lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Dua daripadanya dikenali sebagai Nitin dan Ajit berusia 30 tahun, manakala seorang lagi dikenali sebagai Amit, 40, lapor akhbar India The Economic Times.

Pegawai polis Faridpur, Ashutosh Shivam berkata, bahagian hadapan jambatan itu runtuh ke dalam sungai semasa banjir awal 2024 tetapi perubahan itu tidak dipaparkan dalam Google Maps.

Beliau menambah bahawa tiada penghadang keselamatan atau papan tanda amaran di jambatan terbabit, lapor The Economic Times.

Terkejut dengan kejadian itu, ahli keluarga mangsa dan penduduk di kawasan terbabit mengkritik Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan kerana gagal menutup jambatan yang tidak lengkap berkenaan.

Empat jurutera dari Jabatan Kerja Raya dan seorang pegawai yang tidak dinamakan dari Google Maps sedang membantu siasatan polis, lapor The Economic Times.

Jurucakap Google dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian berkenaan.