Tidak pakai pelitup muka ketika keluarkan kompaun terhadap peniaga, penguat kuasa PBT akan dikenakan tindakan
Seorang anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berkemungkinan berdepan tindakan kompaun selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan tugas di hadapan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau Masjid Beijing, Rantau Panjang di sini semalam.
Anggota yang berusia 39 tahun itu dikesan tidak memakai pelitup muka ketika mengeluarkan kompaun terhadap peniaga sehingga gambarnya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, lelaki berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Menurutnya, polis sudah menerima laporan berhubung perkara itu dan pihaknya sedang mencari anggota PBT itu untuk dikenakan tindakan segera.
“Tindakan anggota itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana dia sendiri gagal mematuhi SOP ketika menjalankan tugas.
“Sewaktu kejadian, anggota berkenaan sebenarnya sedang mengeluarkan kompaun terhadap peniaga jalanan ketika menjalankan perniagaan di lokasi yang tidak dibenarkan iaitu berdekatan Masjid Beijing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Nasaruddin, polis tidak akan berkompromi dengan individu yang dikesan melanggar SOP ketika ini.
Sumber: Kosmo