Tiada halangan ibadah korban di Perak

Tiada halangan ibadah korban di Perak

Tiada halangan untuk umat Islam di negeri ini melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha tahun ini semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, namun kebenaran yang diberikan itu tetap terikat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Ada beberapa negeri tidak menggalakkan ibadah korban dilaksanakan kali ini disebabkan PKP namun kerajaan negeri tiada masalah untuk umat Islam melaksanakan ibadah itu cuma mungkin dengan SOP ketat yang dibenarkan.

“Perkara itu akan ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang akan mewartakan SOP berkaitan yang perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan keperluan dapur kepada penduduk Kampung Selamat, Gunung Semanggol di sini hari ini.

Menurutnya, bekalan ternakan bagi tujuan korban di negeri ini mencukupi meskipun berlaku kes jangkitan penyakit kulit kental (LSD) pada haiwan ternakan.

Katanya, disebabkan risiko penularan jangkitan penyakit ini, kerajaan telah menggantung sementara pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand.

“Tetapi kes penyakit yang menyerang haiwan ternakan ini tidak menjejaskan bekalan ternakan di negeri ini, kita masih ada alternatif lain dan kita beri jaminan bekalan ternakan untuk korban di Perak mencukupi,” katanya.

Sementara itu, mengenai sumbangan keperluan kepada penduduk di sini, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, sumbangan 100 ekor ayam diagihkan kepada 125 ketua rumah di Kampung Selamat.

Katanya, bantuan itu adalah kesinambungan daripada program sebelum ini yang menyasarkan setiap kampung menerima bantuan makanan bagi meringankan beban menghadapi tempoh PKP.

“Sebelum ini kita serahkan makanan kering termasuk beras, minyak, gula, telur dan sayuran, namun kali ini kita agihkan ayam supaya mereka ada lauk untuk dimakan,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan tidak menggalakkan ibadah korban dijalankan ketika Aidiladha dalam usaha mengekang penularan Covid-19 memandangkan ia akan melibatkan aktiviti berkumpulan.

Sumber: Utusan